Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KES DERA BELLA: JANGAN ADA TERLEPAS PANDANG – KENYATAAN MEDIA PPIM – 17/04/2022
17 Apr 2022

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius dan menggesa pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan sepenuhnya terhadap mereka yang terlibat dalam kes penderaan melibatkan remaja OKU Down Syndrom yang dikenali sebagai Bella.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata PPIM berpendirian tegas dalam perkara ini dan tidak mahu mana-mana pihak berselindung dan lari dari tanggungjawab mereka.

“Remaja itu diletakkan dibawah jagaan Pengerusi sebuah persatuan yang menjalankan operasi rumah jagaan tanpa lesen. Dimanakah peranan pihak berwajib dalam hal ini, siapa yang membenarkan remaja itu diletakkan dibawah jagaan individu terbabit, siapa pula pegawai pelindung yang dipertanggungjawabkan untuk memantau kebajikan remaja itu sepanjang tempoh dia berada disana,” tegas Nadzim.

Menurut Nadzim, maklumat kes yang semakin tular di media sosial juga amat membimbangkan.

“Kecederaan yang dikatakan dialami oleh remaja tersebut amat menggerunkan dan pihak berkuasa seharusnya mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab mencederakan remaja itu, dan mengapa tidak ada pemantauan pihak berwajib ke atasnya,” katanya.

Nadzim berkata selain tertuduh yang kini berdepan dengan dakwaan mengabaikan dan menganiaya remaja tersebut, pihak berkuasa seharusnya menyiasat kes tersebut dengan lebih mendalam.

“Saya difahamkan individu yang diberikan hak penjagaan sementara ini tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan. Bagaimana seorang yang berada ditahap itu boleh diberikan hak penjagaan terutama sekali remaja dan bayi kurang upaya,” tanyanya

Lebih memeranjatkan lagi seramai tujuh kanak-kanak termasuk bayi pernah diserahkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada individu tersebut sebelum kes penderaan ini terbongkar.

Nadzim berpendapat sudah tiba masanya pihak berkuasa negara ini bertindak tegas dan adil dalam semua siasatan yang dijalankan jangan hanya mahu menyelesaikan kes dan menunding jari kepada satu atau dua kambing hitam semata-mata.

“Siapa yang mendera, siapa yang membiarkan, siapa yang meletakkan remaja itu disitu, semua mereka harus dipertanggungjawabkan dan bukan satu individu yang kini didakwa, semua mereka yang diberikan amanah untuk menjaga kebajikan anak ini harus dipertanggungjawabkan,” katanya.

Jelas Nadzim sudah terlalu banyak kejadian jenayah yang berlaku di negara ini dan siasatan hanya sekadar dilakukan untuk menutup kes dan tidak ada penyelesaian jangka panjang yang diberikan.

“Jika kita sumbat seorang pelaku ini dalam penjara, apa jaminan pihak berkuasa bahawa individu lain tidak akan melakukan perkara sama keatas mangsa lain dan apa jaminan JKM perkara ini tidak akan berlaku lagi,” tegasnya.

Nadzim berkata PPIM mahu mewujudkan dan melaksanakan satu protokol tetap yang lebih berkesan dan bertindak dengan lebih tegas dalam semua kes jenayah. Pihak berkuasa berkaitan juga perlu mengambil iktibar didalam kes penderaan Bella ini supaya memastikan tidak ada lagi penjawat awam yang gagal dan lalai dalam menjalankan tugas sehingga menyebabkan mangsa lain teraniaya.