Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HARGA TIKET TAK MASUK AKAL, PERANTAU TERPAKSA LUPAKAN KAMPUNG HALAMAN – GETARAN – 13/04/2022
15 Apr 2022

KUALA LUMPUR – Sambutan hari raya Aidilfitri kali ini pastinya dinantikan oleh seluruh masyarakat Islam di negara untuk dirai bersama sanak saudara di kampung halaman, selepas dua tahun ‘terkurung’ di perantauan akibat wabak COVID-19.

Bagaimanapun, hasrat anak perantau terutamanya dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke dakapan keluarga pastinya terbantut dek lonjakan tak masuk akal harga tiket penerbangan yang ditawarkan untuk musim perayaan.

Tinjauan Getaran di laman sesawang syarikat penerbangan tempatan mendapati, harga tiket ditawarkan agak tinggi, malah ia tidak termasuk caj tersembunyi yang perlu dibayar orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan.

Individu bujang mungkin masih boleh menutup sebelah mata untuk membayar harga tiket ditawarkan demi ibu bapa tercinta namun tidak bagi mereka yang sudah berkeluarga.

Jika di luar musim perayaan, tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah atau Sarawak boleh didapati dengan harga sekitar RM200 hingga RM300 sahaja, namun pada musim perayaan Aidilfitri kali ini nilainya melonjak antara RM500 sehingga RM1,900 untuk dua hala.

Seorang pengguna Facebook, Connie Sylvie Moncal berkongsi harga tiket penerbangan yang cuba dibelinya untuk cuti perayaan namun harganya amat tidak masuk akal dan jauh daripada kemampuan orang kebanyakan.

Menurutnya, tiket penerbangan untuk dua dewasa, dua kanak-kanak dan seorang bayi dari Kuala Lumpur ke Sabah bernilai RM4,740, tidak termasuk bagasi dan tempat duduk.

“Untuk ke Sarawak pula harganya RM2,400, ia termasuk bagasi dan tempat duduk pergi dan balik.

“Tiap-tiap tahun harga memang macam ini. Memang tak pernah la murah. Enam tahun dah tak beraya dekat Sabah,” katanya yang turut berkongsi anak sulungnya berusia enam tahun langsung tidak pernah menyambut perayaan di kampung halamannya.

Nadzim Johan
Nadzim Johan

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memantau harga tiket penerbangan terutamanya ketika musim perayaan.

Menurutnya, KPDNHEP dan Kementerian Pengangkutan perlu mencari jalan penyelesaian berhubung isu tersebut yang sudah lama menimpa anak-anak perantau terutamanya dari Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan perlu meneliti isu ini dengan lebih mendalam supaya dapat merencanakan penyelesaian agar ia tidak berulang di masa depan, termasuk menggubal undang-undang bagi mengekang kejadian seumpamanya terus berlaku.

“Tindakan syarikat penerbangan mengenakan caj tinggi ini sama seperti mengambil kesempatan terhadap kesempitan masyarakat kerana mereka tahu orang ramai mahu pulang ke kampung setelah dua tahun dilanda pandemik.

“Jika perkara sebegini dibiarkan, ia sekali gus akan ‘mendidik’ peniaga untuk mengambil kesempatan dalam menjalankan perniagaan,” katanya kepada Getaran.

Beliau dalam pada itu menggesa orang ramai untuk membuat aduan kepada pihak berwajib berhubung perkara tersebut supaya tindakan boleh diambil secepat mungkin.

“Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan kuasa mereka untuk memboikot syarikat penerbangan yang mengenakan harga tak masuk akal, jika diberi kesempatan kelak,” katanya.

Artikel oleh: Getaran

HARGA TIKET TAK MASUK AKAL, PERANTAU TERPAKSA LUPAKAN KAMPUNG HALAMAN

https://www.getaran.my/artikel/semasa/22207/harga-tiket-tak-masuk-akal-perantau-terpaksa-lupakan-kampung-halaman