KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan supaya Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dapat membangunkan satu sistem yang menyeluruh bagi mengenal pasti kesahihan status daging halal yang diimport.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, sistem seperti MySejahtera boleh difikirkan oleh Jakim untuk dibangunkan bagi memastikan daging halal yang diimport benar-benar halal statusnya.
Katanya, banyak daging halal yang diimport diragui status halal hingga menyebabkan pengguna terpedaya dengan status berkenaan.
“Kita gesa Jakim bangunkan satu sistem yang boleh menjamin proses penyembelihan itu tiada penipuan.
“Perlu ada sistem yang boleh memberi maklumat penuh dan jawapan kepada siapa yang sembelih kalau kita tengok daging import apa kualitinya, mana asal sepatutnya ‘tekan’ keluar maklumat, mungkin kita kena buat MySejahtera untuk daging kambing dan lembu halal yang diimport,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPIM pada Selasa.
Terdahulu PPIM bersama dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99 membuat pendedahan berhubung perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal oleh Thomas Food International di Australia yang mendapat kelulusan dari Badan Induk Halal Jakim.
Tambahnya, keperluan pengenalan kepada sistem itu mendesak kerana saban tahun beliau menerima keluhan yang sama daripada pengguna berhubung isu daging halal yang diimport.
“Perkara ini masih tidak selesai, apa yang kita bimbang adalah kita memakan bangkai, saya harap perkara ini disokong oleh rakyat Malaysia, sebab isu halal haram ini amat memberi kesan terutama kepada umat Islam.
“Kita di PPIM ini banyak menerima panggilan pengguna yang saban tahun mengadu tenteng perihal ini, kita sudah Merdeka 60 tahun tetapi isu ini tidak selesai-selesai lagi, kita harap Jakim beri perhatian,” tegasnya.
Sementara itu, Presiden Pekemas, Faizan Mohd Nor ketika membuat pendedahan berhubung isu pelanggaran SOP penyembelihan halal di Australia pula berkata, berdasarkan kepada bukti video dan gambar serta diperkukuhkan saksi yang merupakan pekerja sembelihan di TFI, pihaknya yakin bahawa terdapat unsur-unsur yang jelas pelanggaran protokol penyembelihan.
“Siasatan menyeluruh perlu dibuat dengan kadar segera oleh pihak autoriti termasuk pihak Jakim, SPRM dan PDRM serta merombak struktur organisasi Halal Jakim dengan melakukan rombakan ke atas jawatan panas yang terdedah kepada isu-isu integriti,” katanya.
Jelasnya, isu halal adalah isu yang amat sensitif kepada umat Islam di Malaysia.
“Protokol yang dikeluarkan oleh Jakim dalam memastikan umat Islam dibekalkan daging sembelihan yang halal adalah syariat yang digariskan dalam Islam.
“Berdasarkan kepada bukti-bukti yang ada, saya yakin dan percaya bahawa ada beberapa isu moral dan integriti yang perlu dilihat dan meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pelaku-pelaku yang melanggar integriti Halal Malaysia,” tegasnya.
Artikel oleh: Sinar Harian
CADANG MYSEJAHTERA UNTUK JEJAK DAGING HALAL IMPORT: PPIM