PETALING JAYA: Selepas pendedahan Utusan Malaysia berhubung status halal rumah penyembelihan haiwan di Australia, bekas pekerja yang juga sumber utama tampil membuat pengakuan dan menceritakan hal sebenar.
Sumber yang dikenali sebagai Abdullah mendakwa, rumah sembelihan itu tidak mematuhi protokol sah halal dan segala prosedur penyembelihan adalah jijik serta kotor.
Menurutnya, ia tidak sebagaimana yang sepatutnya ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA).
Apa yang mendukacitakan, dia yang muncul menerusi persidangan video dari Australia dalam sidang akhbar anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) mendakwa, kedua-dua agensi yang dipertanggungjawab memantau rumah sembelihan itu tidak melaksanakan tugas dan bersikap sambil lewa dalam isu halal dan prosedur sembelihan.
“Bagaimana pada 14 April lalu Jakim boleh mengeluarkan kenyataan akhbar yang menyatakan proses di pusat sembelihan berkenaan itu tidak melakukan sebarang pelanggaran protokol halal mengikut SOP.
“Walhal sehingga pada hari saya dipecat iaitu pada Jumaat 22 April, perkara itu masih berlaku. Malah, hanya ada dua pegawai untuk menyembelih 6,500 ekor kambing, sedangkan ia sepatutnya ada empat orang.
“Semua kambing itu dilemaskan dalam darah binatang yang disembelih sebelum itu seperti berlaku awal Januari lalu atau mungkin lebih awal dari itu. Persoalannya, adakah ini SOP baharu Jakim? Lemaskan kambing yang baru disembelih walaupun belum mati lagi,” katanya.
Diragui
Laporan Utusan Malaysia 14 April lalu mendedahkan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.
Susulan itu, Jakim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah meminta penjelasan daripada SICHMA dan menerima maklum balas daripada agensi berkenaan serta mendapat makluman Pegawai Atase Halal Jakim di Canberra selepas menjalankan audit berkala terhadap rumah sembelihan berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan Jakim menimbulkan keraguan selepas timbul pelbagai pendedahan termasuk bekas pekerja serta rakaman video yang menunjukkan haiwan ternakan tersebut disembelih tidak mengikut syarak.
Abdullah berkata, selepas pendedahan isu ini menerusi media di Malaysia, pihak syarikat mengesyaki dia adalah ‘dalangnya’ yang membocorkan segala rakaman video dan gambar sebagai bukti salah laku sekali gus mengambil tindakan memecat serta-merta.
Tambah Abdullah, walaupun berdepan dengan ugutan dan ancaman keselamatan terhadap diri dan keluarganya, dia bertekad membongkar kegiatan itu demi kemaslahatan umat Islam yang sekian lama memakan daging haram.
Abdullah yang juga imam masjid dan seorang guru agama di Australia tidak sanggup lagi melihat semua binatang ‘dilayan’ secara kejam sebelum disembelih.
Dia sambil bersumpah memegang al-Quran membuat pengakuan berhubung perkara terbabit.
Digigit anjing
“Ada kambing mati digigit haiwan liar seperti anjing yang berkeliaran di kawasan rumah penyembelihan itu sebelum sempat disembelih. Jadi status halal itu meragukan.
“Apatah lagi pekerja di pusat sembelihan terbabit yang menjadi pemantau halal juga tidak mengamalkan ajaran Islam sebagaimana dituntut syarak. Tidak solat, tidak berpuasa dan minum arak. Malah ada yang tidak tahu pun nak menyebut perkataan Allahuakbar.
“Jadi bagaimana mereka boleh sembelih binatang yang dijadikan makanan untuk orang Islam,” soal beliau.
Abdullah berkali-kali membangkitkan pelanggaran protokol halal sepanjang dia bekerja kepada pihak SICHMA dan Jakim namun, mereka seolah-olah tidak ambil peduli.
Jelasnya, pemantauan audit halal hanya dilakukan enam bulan sekali dan pihak syarikat rumah penyembelihan itu biasanya diberitahu lebih awal sebelum pemeriksaan dibuat.
Justeru, dia meminta pihak berkuasa Malaysia dan Australia mengambil tindakan drastik membuat pemeriksaan bebas tanpa campur tangan orang dalaman dan meneliti segala bukti yang didedahkan adakah ia menepati semua protokol halal atau sebaliknya. – UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
PROSEDUR SEMBELIH TIDAK HALAL, JIJIK – SAKSI
https://www.utusan.com.my/nasional/2022/05/saksi-buat-pendedahan/