KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu pihak berkuasa agama Islam negara ini menyatakan pendirian mereka berkenaan New World Order.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan mempersoalkan tindakan serta langkah yang diambil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Menteri Hal Ehwal Agama dalam hal berkenaan.
“Adakah mereka terlalu taksub mengambil hati pemimpin negara sehingga kepentingan agama Islam di negara ini terabai,” tegasnya dalam satu kenyataan semalam.
Nadzim turut mempersoalkan adakah pihak berwajib menanti perkara buruk berlaku sebelum bertindak atau mereka juga telah terpengaruh dengan anasir luar itu.
Antara agenda utama New World Order adalah One World Religion iaitu Kebersamaan Dalam Beragama dakwanya.
“Ini terbukti dengan terbinanya Abrahamic Family House yang menempatkan rumah ibadat Yahudi, gereja dan masjid dalam satu kompleks yang dibina di Abu Dhabi dan akan dibuka pada tahun ini.
“One World Goverment, seluruh negara di dunia akan ditadbir oleh satu pemerintah sahaja. Tiada lagi negara, tiada lagi raja, tiada lagi presiden,” dakwanya.
One World Military, katanya menyebabkan seluruh dunia akan dijaga oleh satu pasukan tentera sahaja dan One World Currency di mana tiada lagi mata wang bagi setiap negara.
“Apakah pihak berkuasa yang bertanggungjawab mempertahankan agama Islam di negara ini sudah leka akibat terlalu banyak termakan makanan syubah?” soalnya.- MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
NEW WORLD ORDER: PPIM DESAK PIHAK BERKUASA AGAMA NYATAKAN PENDIRIAN