Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘ABDULLAH’ DEDAH ISU SEMBELIHAN HAIWAN DI AUSTRALIA DICARI – KOSMO – 17/05/2022
31 May 2022

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini sedang menjejaki seorang lelaki dikenali ‘Abdullah’ yang merupakan individu penting yang mendedahkan isu loji penyembelihan halal di Australia baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, individu itu perlu tampil ke hadapan bagi membantu siasatan isu berkenaan.

Beliau berkata, pegawai Jakim sudah pun berjaya menghubungi lelaki itu sebelum ini bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Bagaimanapun, lelaki itu memaklumkan akan menghubungi semula pegawai Jakim berkenaan namun, sehingga kini membisu dan gagal dihubungi.

“Saya turut meminta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk menghubungi lelaki itu kerana ia penting bagi memastikan siasatan lebih telus berhubung isu berkenaan.

“Saya juga difahamkan, Abdullah itu bukan menggunakan nama sebenar namun, kami faham mungkin untuk keselamatan dia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi digital Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) atau DiYa hari ini.

Sebelum ini, media mendedahkan pengakuan seorang bekas pekerja sebuah rumah penyembelihan di Australia yang mendakwa ada bukti rakaman video cara sembelihan haiwan di situ yang melanggar protokol adalah benar.

Susulan itu, Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memutuskan untuk menggantung lesen loji sembelihan Tohmas Foods International Lobethal di Australia. – KOSMO! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

‘ABDULLAH’ DEDAH ISU SEMBELIHAN HAIWAN DI AUSTRALIA DICARI

https://www.kosmo.com.my/2022/05/17/abdullah-dedah-isu-sembelihan-haiwan-di-australia-dicari/