Mengumpulkan seribu orang dalam satu tempat tidak sukar namun, menyatukan seribu hati itu adalah cabaran yang sebenar.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius masalah perpecahan kaum dikalangan rakyat Malaysia terutama ketika negara menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran masa kini.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia bangkit bersama dan bersuara menentang segala jenis cubaan yang mencetuskan perpecahan dikalangan kaum seluruh rakyat Malaysia.
“Tayangan filem Mat Kilau adalah tepat pada masanya. Samada dirancang atau tidak, kita harus akui tarikan aura dari filem hasil sentuhan pengarah muda Shamsul Yusof berjaya menarik perhatian jutaan rakyat Malaysia untuk menonton dan mendalami jalan cerita yang menarik,” katanya.
Sungguhpun filem Mat Kilau yang mula disiarkan di pawagam seluruh negara sejak 23 Jun lalu bukanlah sebuah dokumentari sejarah namun kisah yang dihidangkan untuk penonton cukup membangkitkan semangat cintakan negara, bangsa dan agama.
“Tidak kira apa kaum, bangsa atau agama di negara ini, seluruh rakyat Malaysia boleh memgambil iktibar dari cerita yang diketengahkan di dalam filem Mat Kilau,” katanya.
Nadzim mengingatkan semua masyarakat agar membuang sifat dendam dan dengki sesama sendiri kerana sifat itu hanya akan merugikan kita semua.
“Selain itu, dari filem Mat Kilau kita boleh lihat bagaimana seorang ketua membuat keputusan dengan memikirkan kesan terhadap semua orang dan bukan dirinya sendiri, sifat terpuji ini harus ada dalam semua pemimpin tidak kira diperingkat negara atau pemimpin keluarga. Buanglah ego dan sifat pentingkan diri dalam usaha kita mencapai kejayaan, bertindak dengan bijak dan gunakan akal fikiran tanpa menyusahkan orang lain,” katanya.
Nadzim turut memuji kejayaan Syamsul, walaupun dalam usia muda hanya 38 tahun, beliau mampu menghasilkan karya berkualiti yang boleh ditonton oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Kita perlu lebih ramai anak muda seperti Syamsul untuk sama-sama menaikkan industri perfileman yang menjadi antara aset dan platform menaikkan semangat patriotik, cintakan negara dan bangsa,” katanya.
Kerajaan juga harus menggalakkan pembikinan filem yang dapat membina semangat dan kesedaran yang mampu membuka minda ke arah perpaduan dan patriostisme. Akhir ini menurut Nadzim, masyarakat tidak lagi berminat membaca buku sejarah, atau kitab lama namun dengan penghasilan karya kreatif seperti Mat Kilau, penggiat seni tanah air mampu berkongsi pengajaran dari kejadian sejarah untuk tatapan penonton sesuai dengan perubahan zaman.