Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM SOKONG JIHAD PERANGI ORANG TENGAH – KENYATAAN MEDIA PPIM – 08/07/2022
09 Jul 2022

KUALA LUMPUR, 8 JULAI 2022 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik saranan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob yang mahu gerakan koperasi memainkan peranan dalam meneruskan ‘Jihad Perangi Orang Tengah’.

PPIM berkata kenyataan Perdana Menteri itu tepat kerana melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan sokongan gerakan koperasi seluruh negara, harga barangan keperluan boleh distabilkan disamping menjamin sekuriti makanan negara dapat dilaksanakan.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi berkata gerakan koperasi di negara ini yang mempunyai keanggotaan seramai kira–kira 7 juta mampu untuk menjalankan amanat ini jika semua pihak dapat bersatu padu dalam usaha memerangi orang tengah yang memberikan implikasi kepada harga dan juga bekalan makanan.

“Gerakan koperasi di negara ini terlibat dalam pelbagai sektor seperti pertanian dan asas tani, perladangan dan pelbagai lagi. Mengapa tidak kita perkasakan lagi dan bantu koperasi ini bagi mengeluarkan jumlah produk yang akan dapat membantu mencukupi keperluan rakyat?” kata Nadzim dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nadzim, koperasi turut memberikan manfaat kepada ahlinya dalam pelbagai bentuk seperti dividen, kemudahan pembiayaan, bantuan kecemasan dan pelbagai lagi.

“Saya melihat lebih baik kita mengangkat koperasi sebagai platform utama perniagaan kerana banyak manfaat yang dapat dikongsi berbanding mereka yang hanya memikirkan keuntungan semata – mata,” katanya.

Nadzim berpendapat, keresahan masyarakat terhadap isu kenaikan harga barang ini harus ditangani dengan kadar segera sebelum menjadi lebih parah.

“Antara faktor yang menjadikan harga barang ini adalah lapisan orang tengah yang mengambil keuntungan sekaligus menjadikan harga barangan di pasaran naik mendadak. Jika ANGKASA dan gerakan koperasi mampu untuk mengurangkan peranan orang tengah dalam rantaian pembekalan maka sudah pasti kita akan dapat menikmati harga yang lebih murah di pasaran,” katanya.

Selain itu, Nadzim berkata isu kenaikan harga juga seringkali diutarakan menjelang mana– mana perayaan dengan alasan permintaan melebihi bekalan.

“Saya yakin usaha jihad orang tengah yang sering memanipulasi bekalan ini akan dapat ditangani jika ANGKASA dan gerakan koperasi bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memperkasakan sektor–sektor yang terlibat dalam isu pembekalan barangan ini,” katanya.