PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa melantik pasukan pemantau di rumah-rumah sembelihan di luar negara bagi mengelak insiden pelanggaran protokol sembelihan halal dan isu daging import yang diragui status halalnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pemantauan serius perlu dilakukan bagi memastikan kejadian sama melibatkan Thomas Food Industries (TFI) di Lobethal, Australia tidak berulang.
Katanya, Jakim boleh menggunakan khidmat imam di masjid atau pelajar di negara berkenaan yang bertauliah untuk membantu mengendalikan tugasan itu.
“Saya yakin kalau perkara berkaitan pemantauan ini diambil serius, tentunya rumah-rumah sembelihan mahu pun badan pensijilan halal di Australia gerun untuk melanggar protokol ditetapkan.
“Sudah sampai masanya, Jakim melantik pasukan pemantau atas pemantau bagi memperkasa lagi aktiviti pemantauan di rumah-rumah sembelihan di sana,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Utusan Malaysia membongkar status halal meragukan sebuah rumah sembelihan di Brisbane, Queensland, Australia yang didakwa mengendalikan kerja-kerja penyembelihan lembu secara kaedah menembak pelalian tekanan bagi melemahkan haiwan sebelum disembelih.
Perkara itu didedahkan bekas pekerja rumah sembelihan itu yang dikenali sebagai Osama bahawa pihak penyelia dan pengurusan syarikat langsung tidak mengendahkan pemeriksaan kepala haiwan secara teliti sebelum mengesahkan kerja-kerja penyembelihan dilakukan mematuhi prosedur halal.
Katanya, rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan badan pensijilan halal, Akreditasi dan Pembangunan Halal Australia (AHDAA) itu mengeksport 70 peratus produk daging mereka ke Indonesia dan Singapura selain beberapa negara Islam lain.
Malah, AHDAA dalam proses mahu mendapatkan kelulusan daripada Jakim untuk membenarkan produk daging dari semua rumah sembelihan di bawah penyeliaan mereka turut boleh memasuki pasaran Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu mengambil iktibar insiden terdahulu dan mengetatkan proses pemantauan di rumah-rumah sembelihan.
“Pastikan mereka patuh protokol halal ditetapkan dan kalau gagal, Jakim perlu memberi amaran kepada badan pensijilan halal terlibat atau menamatkan perkhidmatan serta-merta,” katanya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
JAKIM PERLU LANTIK PASUKAN PANTAU RUMAH SEMBELIHAN LUAR NEGARA
https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/lantik-pasukan-pantau-rumah-sembelihan-luar-negara/