KUALA LUMPUR – Tayangan filem biografi epik, ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ disifatkan sebagai naskhah yang hadir pada waktu tepat di saat masyarakat Malaysia semakin berpecah.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya rakyat bangkit bersama dan bersuara menentang segala jenis cubaan yang mencetuskan perpecahan kaum di Malaysia.
“Tayangan filem Mat Kilau adalah tepat pada masanya, sama ada dirancang atau tidak, kita harus akui tarikan aura filem hasil sentuhan pengarah muda, Syamsul Yusof berjaya menarik perhatian jutaan rakyat Malaysia menonton dan mendalami jalan cerita yang menarik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, meskipun filem Mat Kilau yang mula bersiaran di pawagam seluruh negara sejak 23 Jun lalu bukanlah dokumentari sejarah, namun kisah yang dihidangkan cukup membangkitkan semangat cinta akan agama, bangsa dan negara.
“Tidak kira apa kaum, bangsa atau agama di negara ini, seluruh rakyat Malaysia boleh mengambil iktibar daripada cerita yang diketengahkan dalam filem Mat Kilau,” katanya.
Nadzim dalam masa sama turut mengingatkan masyarakat agar membuang sifat dendam dan dengki sesama sendiri yang hanya akan membawa kerugian kepada semua.
“Selain itu, melalui filem Mat Kilau kita boleh lihat bagaimana seorang ketua membuat keputusan dengan memikirkan kesan terhadap semua orang dan bukan dirinya sendiri.
“Sifat terpuji ini harus ada dalam semua pemimpin tidak kira di peringkat negara atau pemimpin keluarga,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu menggalakkan pembikinan filem yang dapat membina semangat dan kesedaran yang mampu membuka minda ke arah perpaduan dan patriotisme.
Tambahnya, masyarakat kini tidak lagi berminat membaca buku sejarah atau kitab lama.
“Bagaimanapun, dengan penghasilan karya kreatif seperti Mat Kilau, penggiat seni tanah air mampu berkongsi pengajaran daripada kejadian sejarah untuk tatapan penonton sesuai dengan perubahan zaman,” katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
FILEM MAT KILAU DITAYANGG TEPAT PADA MASANYA: PPIM