KUALA LUMPUR: Ratusan peneroka Felda Lembah Klau, di Pahang merayu dan memohon bantuan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, untuk mencemar duli melihat sendiri keperitan rakyat menuntut pembelaan berhubung nilai tanah tidak masuk akal pada harga 99 sen, sejak lebih 10 tahun lalu.
Ini kerana, mereka tiada pilihan lain lagi untuk mendapatkan keadilan selepas beberapa pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk kerajaan, Felda, pegawai daerah dan negeri yang sehingga kini belum menerima maklum balas.
Presiden Persatuan Anti Diskriminasi dan Salah Laku, Datuk Mohd Fakrunizam Ibrahim mewakili peneroka berkata, tiba masanya isu berkenaan sampai ke pengetahuan Sultan Pahang melalui media kerana percaya, baginda tidak dimaklumkan mengenai perkara itu sehingga saat ini.
“Mungkin Tuanku tidak tahu (isu), kadang ada pemimpin di bawah sengaja sorok isu dan nampak elok di mata tetapi hakikatnya, rakyat menderita.
“Kalau boleh patik mohon Tuanku untuk mencemar duli melihat masalah rakyat Pahang di Lembah Klau, sebab kesian untuk mereka dan generasi akan datang.
“Mereka terpaksa buat macam ni (pendedahan media) beritahu satu negara supaya masalah mereka didengari, kerana lebih 10 tahun disekat, diperlekeh dan diperlaku macam itu saja tanpa pembelaan. Jadi mereka datang juga ke sini untuk bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media peneroka Felda Lembah Klau, Raub ditipu, bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, di sini.
Peneroka, Tengku Badri Tengku Jaafar, mendakwa ada wakil rakyat cuba menabur ‘gula-gula’ kepada peneroka dengan menawarkan tanah tiga hingga enam ekar supaya meredakan isu tuntutan mereka, selepas MEDIA VARIASI membongkar pendedahan dan tular di media sosial baru-baru ini.
“Saya dimaklumkan, tawaran itu berlaku dalam mesyuarat bersama ahli bahagian kawasan.
“Saya difahamkan, ada yang dia tawarkan tiga ekar kepada belia dan enam ekar kepada penduduk, tetapi tiada hitam putih. Akhirnya tiada penyelesaian, cuma ‘gula-gula’kan atas mulut, mungkin nak redakan keadaan kami,” dakwanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, beliau hairan bagaimana penganiayaan secara terbuka terhadap penduduk kawasan tidak mendapat perhatian pihak berwajib.
“Sudah sekian lama, tiga kali pilihan raya sudah berlalu tetapi masalah mereka masih tidak selesai, mana janji-janji ketika pilihan raya dulu.
“Apakah kerana mereka orang kampung dan tidak mendatangkan keuntungan sehingga dibiarkan terus dibelenggu masalah ini selama lebih 10 tahun,” katanya yang akan turut membantu menyediakan pihak guaman supaya dapat membela nasib penduduk.
Beliau turut menyarankan kepada peneroka supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis supaya isu berkenaan diambil berat dan tidak dipandang enteng.
MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan pembongkaran bersiri tentang penyelewengan pengambilan tanah peneroka Felda di Parlimen Raub itu bahawa harga melampau bagi seekar tanah iaitu 99 sen kaki persegi, dijual bagi projek Pembinaan Empangan Klau pada tahun 2008.
Bantahan 447 peneroka itu sudah berlangsung 14 tahun namun tidak diendahkan, nilai tanah yang amat rendah dibayar berbanding RM3.45 kaki persegi ketika perjanjian asal.
Susulan itu juga, terdapat dakwaan wakil rakyat cuba mendapatkan senarai warga peneroka Felda Lembah Klau yang belum menerima pampasan daripada PPIM.
Wartawan MEDIA VARIASI cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada wakil rakyat berkenaan namun hanya mengunci mulut tanpa sebarang penjelasan.
Artikel oleh: Media Variasi
ISU TANAH 99 SEN: PENEROKA FELDA LEMBAH KLAU MOHON SULTAN PAHANG CAMPUR TANGAN