Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
AWAS HARGA PAKEJ HAJI, UMRAH TAK LOGIK – HARIAN METRO – 27/07/2022
28 Jul 2022

Kuala Lumpur: Tawar pakej haji RM16,000 dan umrah RM3,000. Itu antara promosi gila-gila agensi pelancongan yang ligat mencari jemaah untuk ke tanah suci sejak beberapa tahun lalu.

Harga berkenaan disifatkan tidak logik dengan kadar semasa dan ia sepatutnya menjadi pananda aras kepada bakal jemaah mengenai risiko kemungkinan tidak dapat menunaikan ibadat di sana.

Mendedahkan perkara itu Pengarah Advokasi Khidmat Guam Mahmud Jumaat berkata, antara jaminan yang diberikan pihak tidak bertanggungjawab itu termasuklah ada pihak ketika yang bermurah hati untuk menaja jemaah agar dapat menunaikan rukun Islam kelima itu.

Katanya, sama juga dengan isu visa Furada yang menyebabkan jemaah terkandas baru-baru ini kerana ada unsur maklumat kurang tepat yang diterima mereka.

“Khidmat Guam difahamkan, tahun ini sebenarnya tiada visa Furada ditawarkan kerajaan Arab Saudi, sebaliknya yang ada hanyalah Visa Mujamalah.

“Jumlah yang ditawarkan kepada pihak agensi akan dimaklumkan lebih awal untuk memudahkan persiapan bagi penyerahan dokumen kepada kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

“Tujuannya adalah untuk memudahkan pihak agensi menguruskan jumlah jemaah yang mereka boleh terima dalam setiap musim haji,” katanya.

Mahmud berkata, beliau bersama Aktivis Kanan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Muhammad Zharif Johor menyertai perbincangan bersama 83 jemaah yang terkandas baru-baru ini untuk membantu mereka dari sudut perundangan.

Menurutnya, enam peguam tampil untuk membantu dan difahamkan mereka akan mengadakan sidang media berhubung isu berkenaan.

“Kita menggesa kerajaan tampil dengan penyelesaian konkrit isu haji Furada ini kerana ia bukan kes baru, malah setiap tahun pasti akan timbul isu begini, cuma jumlah saja berbeza.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) perlu memastikan setiap agensi menghantar laporan dan membuat pengesahan bahawa mereka sudah pun menerima visa Furada.

“Selepas disahkan pihak berkuasa Arab Saudi, jemaah juga boleh membuat semakan dengan Motac untuk pengesahan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai peluang kedua, kerajaan juga diminta untuk mengkaji kewajaran membenarkan jemaah yang terkandas baru-baru ini mengerjakan haji pada musim depan secara jaminan.

Selain itu, pihak berwajib juga boleh meletakkan mereka dalam senarai menunggu paling hampir untuk ke Makkah bagi menunaikan hasrat mereka yang tergendala selepas menjadi mangsa keadaan.

“Tiada yang salah dengan visa Furada ini, sebaliknya kegagalan memberikan maklumat yang tepat menyebabkan ada yang terkandas biarpun sudah membayar ratusan ribu ringgit seperti dipersetujui.

“Kita doakan tiada lagi isu terkandas sampaikan ada dalam kalangan mangsa yang tenggelam punca selepas wang habis dibelanjakan, tetapi tidak naik haji,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

AWAS HARGA PAKEJ HAJI, UMRAH TAK LOGIK

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/07/865703/awas-harga-pakej-haji-umrah-tak-logik