Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘BANYAK KES TULAR ORANG SUSAH, PUSAT ZAKAT DAH BANTU’ – SINAR HARIAN – 27/07/2022
28 Jul 2022

NILAI – Kebanyakan kes orang susah yang tular di media sosial merupakan mereka yang telah pun dibantu dan ada juga didapati tidak layak menerima bantuan.

Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hamizul Abdul Hamid berkata, sehubungan itu masyarakat yang mempunyai maklumat berkenaan orang susah diharap dapat menghubungi pihak zakat terlebih dahulu sebelum berkongsinya di media sosial.

Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan dan pada masa sama mengelakkan salah faham yang institusi zakat tidak prihatin atau tidak turun padang.

“Sebenarnya yang paling berkesan membantu pusat zakat menangani isu kemiskinan ialah netizen.

“Tapi apabila netizen tularkan kes orang susah di media sosial, orang marah dengan kita.

“Jika kita sayangkan asnaf, jika mereka datang kepada kita mengadu tak dapat bantuan zakat dan sebagainya, ambil maklumat diri dan nombor kad pengenalan dan serahkan pada pusat zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku ahli panel pada Wacana al-Quran Tangani Kemiskinan: Sejauh Mana Zakat Mampu?, di sebuah hotel di sini, pada Selasa.

Jelasnya, wang zakat tidak boleh dibagi sewenang-wenangnya dan setiap kes perlu disiasat terlebih dahulu.

Bagaimanapun katanya, untuk kes tertentu ada bantuan kecemasan atau bantuan segera disediakan.

“Tapi jika individu itu betul-betul memerlukan, kita akan buat siasatan lanjut untuk bantuan bersesuaian.

“Wang zakat juga tidak boleh sebarangan digunakan untuk memberi bantuan bagi menyelesaikan pinjaman ah long kerana ia dibimbangi akan menjadi galakan tanpa sedar kepada orang Islam untuk terus meminjam ah long,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, berdasarkan rekod LZS sehingga 31 Disember tahun lalu, terdapat 64,000 keluarga dikategorikan fakir miskin di Selangor.

Selain beliau, wacana itu turut menampilkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan, Qari Mohamad Husaini Mahmur dan Ketua Pegawai Eksekutif ARBA Foundation, Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Nadzim yang lebih dikenali sebagai Toqqi pula ketika ditemui Sinar Harian berkata, dengan kerjasama sebaik mungkin daripada semua pihak terutama yang mempunyai autoriti, banyak masalah dalam kalangan orang susah dapat diselesaikan.

“Contohnya ada ibu tunggal tinggal di Bukit Beruntung, Selangor tak mampu bayar ansuran bulanan rumah selama lapan bulan dan bank nak lelong rumahnya.

“Cara mudahnya mungkin kita boleh jelaskan hutang tertunggak itu. Tapi apa yang PPIM buat ialah kita hanya hubungi pihak bank dan minta mereka bagi tempoh lagi dan ia diterima.

“Maknanya, pihak yang ada autoriti misalnya seperti datuk bandar boleh gunakan peranan dia untuk bantu beri perubahan dalam kes yang berkaitan dengan kuasanya dengan hanya melalui panggilan telefon,” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

‘BANYAK KES TULAR ORANG SUSAH, PUSAT ZAKAT DAH BANTU’

https://www.sinarharian.com.my/article/213301/KHAS/#WacanaQuran/Banyak-kes-tular-orang-susah-pusat-zakat-dah-bantu