Baru-baru ini Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menerima aduan melalui hantaran di laman sosial.
Menurut pemilik akaun bernama Raja Cuti dan Adam J, pembinaan sebuah lebuh raya di Pelabuhan Klang kurang 1 meter dari rumah orang awam.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi mempersoalkan bagaimana sebuah projek lebuh raya yang menjadi laluan utama kenderaan di situ boleh dibina sedemikian rupa.
“Siapa yang meluluskan projek ini dan apakah nasib penduduk di sana, apa tindakan wakil rakyat dan apa pula alasan pihak berkuasa tempatan?” katanya.
Tinjauan mendapati rata-rata penduduk gusar dengan situasi berkenaan namun kerana keadaan itu sudah berlarutan hampir dua puluh tahun, mereka kini ibarat sudah terbiasa.
“Penduduk meluahkan rasa bimbang jika berlaku kemalangan yang tidak diingini, malah ada yang menyuarakan tidak mampu tidur lena kerana bimbang berlaku perkara yang buruk selain bunyi bising,” katanya.
Selain pencemaran bunyi, penduduk di kawasan tersebut juga berhadapan masalah kesihatan susulan pencemaran udara yang agak teruk.
“Rumah-rumah di sana tidak dapat membuka tingkap kerana habuk terlalu banyak dan ramai yang mengalami masalah seperti batuk dan selsema,” katanya.
PPIM menggesa pihak berwajib segera memberikan penyelesaian kepada penduduk berkenaan.