Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BEKAS CEO SAPURA TERIMA GAJI LEBIH RM17 JUTA SETAHUN – KOSMO – 23/03/2022
24 Mar 2022

PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius apabila didedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy Bhd. meraih gaji sebanyak lebih RM17 juta setahun.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan PPIM berkata, PPIM mendesak kerajaan supaya memandang serius akan gejala kurang sihat itu.

“Seseorang yang konon punya bakat memperdagangkan wang pelaburan rakyat, dibayar gaji yang melangit, tetapi akhirnya rugi. Kerugian tersebut pula sering di ‘bailout’, sekali lagi menggunakan wang rakyat.

“Mungkin jumlah gaji yang diterimanya mempunyai justifikasi tersendiri, tetapi nyata ia sesuatu yang tidak menunjukkan akauntabiliti dan tanggungjawab apabila tiba-tiba wang rakyat, wang kumpulan titik peluh rakyat seolah-olah dipersia-siakan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, apakah menjadi satu dosa besar bagi seorang Perdana Menteri mengumumkan gaji minima sebanyak RM1,500 sebulan walhal rakyat harus menerima hakikat bahawa ada individu di negara yang mampu meraih gaji sebanyak lebih RM17 juta setahun.

Menurutnya, amat mengejutkan apabila syarikat Sapura sebuah konglomerat minyak dan gas antara terbesar di rantau ini diancam bankrap setelah mencatatkan kerugian sebanyak RM8.9 bilion tahun lepas.

“Akibat kerugian dan kemungkinan tindakan kebankarapan itu, badan-badan pelaburan kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga akan terjejas secara langsung. Sekiranya Sapura Energy jatuh bankrap, 10.6 juta pelabur Amanah Saham Bumiputera akan mengalami kerugian langsung sebanyak RM4 bilion.

“Di samping itu, PNB dan KWSP serta lain-lain tabung Amanah juga akan berdepan kemungkinan kerugian langsung berikutan hutang mereka dengan bank-bank tempatan seperti Maybank yang mana PNB juga memiliki 50 peratus daripada sahamnya,” ujarnya.

Artikel oleh: Kosmo

BEKAS CEO SAPURA TERIMA GAJI LEBIH RM17 JUTA SETAHUN

https://www.kosmo.com.my/2022/03/23/bekas-ceo-sapura-terima-gaji-lebih-rm17juta-setahun/