Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BERI PENGECUALIAN PENGELUARAN KWSP – UTUSAN MALAYSIA – 15/12/2022
15 Dec 2022

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan perlu memberi pengecualian pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada golongan yang memerlukannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengecualian itu perlu dipertimbang dengan mengambil kira keadaan semasa yang mendesak pencarum.

“KWSP ini kita faham bahawa dari segi dasarnya memang tidak membenarkan pengeluaran wang caruman, sakit ke apa ke memang tidak bagi.

“Tetapi kita perlu lihat yang perkara sebenarnya dalam keadaan berbeza. Contohnya jika pencarum itu sudah sampai nak diisytihar bankrap, (kalau tak dapat keluarkan caruman KWSP), sudah tentu boleh jadi bankrap.

“Jadi, bagi saya KWSP itu kena lihat keadaan semasa. Kalau ada keperluan, maka kena ada rasa pertimbangan dengan pencarum sebab kita kena tahu yang peraturan apa semua itu boleh diubah, itu bukan al-Quran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan, seramai 320,000 pencarum merayu kerajaan mempertimbang pengeluaran khas caruman KWSP secara bersasar bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam fasa peralihan ke endemik ketika ini.

Gesaan tersebut diterima Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) melalui borang secara dalam talian yang diusahakan persatuan itu sejak 5 Julai lepas.

Sebanyak 15 faktor utama dikenal pasti membelenggu mereka yang menuntut pengeluaran khas itu, yang merangkumi desakan hidup, pendapatan tidak seimbang dan tunggakan hutang pascapandemik Covid-19.

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, pengecualian pengeluaran caruman itu boleh dipertimbang kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, tetapi dalam masa sama mempunyai simpanan besar.

Beliau berkata, ini kerana tuntutan itu sudah tentu sangat memerlukan untuk mereka berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sebaiknya dapat memperincikan individu mana yang layak menikmati pengeluaran itu dan individu mana sebaliknya.

“Misalnya ia dibenarkan, ia perlu mengambil kira bahawa orang yang mengambil itu sudah cukup simpanan bersara, jika tidak, maka kita hanya memberikan harapan palsu kepada mereka.

“Selain itu, ia perlu mengambil kira juga umur (mereka yang mahu mengeluarkan wang caruman itu. Jika sekarang ini individu itu berusia 35 tahun dan mempunyai baki caruman RM150,000, maka mungkin boleh sempat kumpul RM250,000 untuk bersara.

“Sebab RM250,000 itu merupakan satu sasaran baru yang ditentukan KWSP bagi membolehkan pencarum dapat bersara dengan pencen bulanan RM1,000 sebulan.

“Tetapi, kena fikir juga adakah RM1,000 sebulan itu mencukupi? Hari ini pun (kadar itu) belum mencukupi kerana sekurang-kurangnya memerlukan RM3,000 sebulan bagi menampung kos sara hidup yang dianggarkan mencecah RM2,500 sebulan,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi yang juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula berpandangan, pengeluaran caruman KWSP tidak wajar dipertimbang walaupun secara bersasar.

Beliau berkata, ia mengambil kira beberapa pengeluaran yang sudah diluluskan sebelum ini yang sudah tentu menyebabkan baki caruman simpanan mereka berkurangan.

“Kalau benarkan lagi, apa tinggal untuk hari bersara esok? Jadi bila masa mahu tambah semula caruman yang dikeluarkan? Bilakah individu yang keluar itu boleh dapat pendapatan tetap dan boleh bayar semula caruman?

“Kita kena tahu implikasinya iaitu tabungan itu akan menjadi kurang lagi dan memang susah mahu penuhkan semula sampai tahap sebelum ini. Kalau keluar RM10,000 pun ambil masa bertahun untuk (ganti semula), itu pun jika kita konsisten mencarum.

“Tetapi kalau sudah keluar selepas itu tidak diisi semula, hanya mengharapkan dividen tahunan KWSP, maka sampai bila mahu bertambah. Umur meningkat, tetapi kenaikan caruman perlahan.

“Oleh itu, bukan saya tidak simpati, tetapi kena fikir jangka masa panjang terutama mereka yang masih berkeluarga,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan mereka yang menuntut pengeluaran caruman itu dapat meneliti semula perbelanjaaan dan komitmen harian mereka agar sesuai dengan kos sara hidup pada masa ini.

Malah katanya, golongan itu juga perlu mencari pendapatan sampingan lain terutama menceburkan diri dalam gig ekonomi selain boleh mempelajari kemahiran lain untuk menambah pendapatan. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

BERI PENGECUALIAN PENGELUARAN KWSP

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/12/beri-pengecualian-pengeluaran-kwsp/