Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ISU KETERJAMINAN MAKANAN: KERAJAAN DIGESA PASTIKAN BEKALAN CUKUP, BANGUNKAN INFRASTRUKTUR – SAMUDERA.MY – 15/12/2022
16 Dec 2022

KUALA LUMPUR, 15 Disember 2022 – Kerajaan Malaysia digesa untuk memastikan bekalan barang keperluan asas mencukupi di pasaran sekali gus membangunkan infrastruktur luar bandar bagi menangani isu keterjaminan makanan dalam negara.

Portal berita tempatan melaporkan, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Profesor Datuk Dr N Marimuthu berkata, meskipun harga barangan asas mahal, kerajaan harus memastikan ianya mencukupi untuk mengelakkan berlakunya pembelian panik.

“Kita tak nak perkara ini berlaku kerana kesannya akan menyebabkan pengguna merana,” ujarnya.

Sementara itu, Rauzan Isa, Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) pula mencadangkan agar Kerajaan memfokuskan pada kegiatan ekonomi utama di kawasan luar bandar bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Antara cadangannya adalah menaik taraf infrastruktur penting yang berupaya merancakkan rantaian sektor ekonomi tertentu seperti jaringan internet, bekalan elektrik yang luas dan jalan pertanian yang baik.

“Dengan adanya jalan yang baik, hasil pertanian dapat dikeluarkan secara optimum dan lebih banyak aktiviti pertanian baharu boleh dibuka. Ketika ini masih banyak tanah tidak dapat diusahakan kerana jalan teruk atau tiada bekalan elektrik,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut menyarankan Kerajaan melaksanakan aktiviti penanaman sendiri bagi mengatasi isu kos sara hidup.

Beliau berpendapat, “Kerajaan perlu buat sesuatu seperti laksana tanam sendiri (sayur-sayuran, buah-buahan). PPIM sendiri mengusahakan tanaman cendawan. Kita puas makan dan dalam masa sama mengurangkan import makanan. Jadi harga dapat dikawal dan lebih murah.”

Menurutnya, harga barang keperluan asas dilihat meningkat terutamanya ketika negara dilanda bencana banjir. Justeru itu, Kerajaan perlu mengutamakan isu kos sara hidup.

Artikel oleh: Samudera.my

ISU KETERJAMINAN MAKANAN: KERAJAAN DIGESA PASTIKAN BEKALAN CUKUP, BANGUNKAN INFRASTRUKTUR

https://www.samudera.my/isu-keterjaminan-makanan-kerajaan-digesa-pastikan-bekalan-cukup-bangunkan-infrastruktur/