Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘BERI SUBSIDI HAJI KEPADA YANG MOHON SAHAJA’ – BERITA HARIAN – 16/04/2022
20 Apr 2022

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan supaya subsidi haji hanya diberikan kepada jemaah yang membuat permohonan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johari, berkata ini kerana jika diberikan kepada semua jemaah, mereka yang berkemampuan juga akan mendapat subsidi berkenaan.

Katanya, subsidi haji perlu diberikan kepada hanya mereka yang membuat permohonan kerana ternyata mereka memerlukannya selain inisiatif kerajaan itu akan dilihat lebih berkesan.

“Pada pendapat saya, lebih baik subsidi haji ini hanya diberikan kepada mereka yang mahu sahaja kerana akan lebih menjimatkan.

“Beri pilihan kepada jemaah sama ada mereka perlukan subsidi atau tidak, jika perlu baru bagi jika tidak, tidak perlu beri.

“Jika subsidi haji diberikan kepada semua orang termasuk jutawan, ia sama seperti subsidi minyak sekarang yang turut diambil kesempatan oleh warga Singapura,” katanya kepada BH, hari ini.

Hari ini, kerajaan mengumumkan kekal dengan keputusan yang dibuat sebelum ini iaitu memberi subsidi haji kepada semua jemaah, walaupun ada cadangan supaya langkah terbabit disemak dan dilaksanakan secara bersasar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, dilaporkan berkata, setakat ini kerajaan kekal dengan keputusan berkenaan tanpa memilih golongan tertentu.

“Walaupun ada cadangan (bersasar), namun kita kekal bagi subsidi kepada semua. Akan ada la formula kita nak bagi nanti.

“Ini (subsidi) bukan duit kerajaan, sebaliknya subsidi itu diambil daripada keuntungan pendeposit,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) menyambut baik keputusan kerajaan yang akan memberi subsidi haji kepada semua jemaah.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata tindakan itu amat bertepatan kerana subsidi itu adalah hak pencarum itu sendiri.

“Mereka yang berhasrat melaksanakan haji akan mencarum di Tabung Haji dan subsidi yang diperoleh itu adalah hak mereka,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan kos yang bakal dikenakan kepada bakal jemaah haji berikutan kos seorang jemaah muassasah dijangka meningkat beliau berkata, dalam keadaan sekarang kos haji juga perlu dinaikkan.

Namun katanya, kos baru itu perlu bersesuaian dan tidak membebankan jemaah nanti.

“Jika kos mengerjakan umrah naik, saya kira kos haji perlu dinaikkan juga dengan jumlah yang berpatutan antara RM12,000 sehingga RM14,000,” katanya.

Artikel oleh: Kosmo

‘BERI SUBSIDI HAJI KEPADA YANG MOHON SAHAJA’

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/946530/beri-subsidi-haji-kepada-yang-mohon-sahaja