Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PROGRAM BINGKISAN AIDILFITRI SASAR BANTU 650 BEKAS ATLET KEBANGSAAN – SINAR HARIAN – 16/04/2022
20 Apr 2022

KUALA LUMPUR – Program Bingkisan Aidilfitri sasar bantu seramai 650 bekas atlet kebangsaan yang memerlukan, sebagai antara langkah menghargai jasa mereka yang banyak mengharumkan nama negara sebelum ini.

Dianjur Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), sebanyak RM65,000 diperuntukkan untuk program berkenaan yang akan diterjemah dalam bentuk bantuan wang tunai dan biskut raya.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, bantuan itu akan diagih melalui dua sesi dengan sesi pertama melibatkan 150 penerima di Kuala Lumpur manakala sesi kedua bagi penerima yang berada di luar Kuala Lumpur.

Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Sumbangan Bingkisan Aidilfitri Kepada Bekas Atlet Kebangsaan di sini, pada Sabtu beliau berkata, inisiatif berkenaan turut mendapat kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang bertindak sebagai pengelola, bagi mengumpulkan bekas atlet kebangsaan yang memerlukan.

Dalam pada itu, antara penerima bantuan bekas pemain boling padang negara, Halimah Hassan, 60, bersyukur apabila dirinya masih diingati dan dihargai walaupun telah bersara.

“Alhamdulillah saya rasa bersyukur sangat. Walaupun sudah bersara jadi atlet, masih lagi dihargai dan terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang menyumbang,” katanya yang telah bersara pada tahun 2014 kepada pemberita.

Sementara itu, bekas atlet memanah negara Siti Aisah Sudin, 56, pula menyeru bekas atlet yang belum menyertai YAKEB untuk berbuat demikian, supaya soal kebajikan mereka terjaga selain tidak terlepas daripada pelbagai aktiviti direncana yayasan berkenaan. – Bernama

Artikel oleh: Sinar Harian

PROGRAM BINGKISAN AIDILFITRI SASAR BANTU 650 BEKAS ATLET KEBANGSAAN

https://www.sinarharian.com.my/article/198302/BERITA/Nasional/Program-bingkisan-Aidilfitri-sasar-bantu-650-bekas-atlet-kebangsaan