KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengenakan larangan ke atas tabiat meminum arak dan minuman manis, perjudian, kelab malam, karaoke dan pub kepada generasi akan datang.
Pendapat tersebut diperoleh melalui satu tinjauan pendapat yang dijalankan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara dalam talian yang telah berjaya mengumpul 1,259 responden.
Tinjauan tersebut dijalankan bagi memahami pandangan orang ramai mengenai larangan untuk tabiat-tabiat negatif lain selain daripada merokok dan menggunakan vape untuk generasi yang akan datang.
“Hasil tinjauan mendapati 89 peratus mahukan kerajaan mengharamkan arak dan 69 peratus mahukan kerajaan mengharamkan penjualan minuman manis.
“Selain itu, sebanyak 86 peratus mahukan kerajaan mengharamkan perjudian manakala 79 peratus mahukan kerajaan mengharamkan operasi kelab malam, karaoke dan pub,” kata PPIM dalam satu kenyataan hari ini.
Tinjauan itu telah dijalankan selama seminggu di laman portal www.ppimonlinepoll.com.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk melaksanakan larangan dan penjualan rokok dan vape kepada individu yang lahir selepas 2005.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk membuat larangan penuh pada penggunaan dan penjualan sesuatu barangan kepada generasi akan datang walaupun cadangan tersebut adalah bertujuan positif.
Beliau juga berpendapat tindakan larangan tersebut akan membawa kepada masalah lain antaranya peningkatan pasaran gelap dan juga aktiviti-aktiviti jenayah yang lain.
“Selain daripada kesukaran dari segi penguatkuasaan, ini secara tidak langsung bakal memberi bebanan kepada agensi penguatkuasaan serta menjadikan pengguna dewasa menjadi penjenayah.
“Kita juga maklum produk-produk dan perkhidmatan lain juga memberi kesan yang negatif kepada pengguna. Sebagai contoh, arak boleh merosakkan anak bangsa, minuman manis memberikan kesan kepada kesihatan, perjudian boleh menyebabkan rakyat terjerumus dengan hutang.
“Sekiranya kerajaan bernekad untuk memperkenalkan larangan untuk merokok dan vape atas sebab kemudaratan kesihatan, ramai juga telah bersuara untuk menyarankan kerajaan mengenakan larangan yang sama untuk membasmi semua tabiat-tabiat yang negatif kepada generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
BUKAN ROKOK DAN VAPE SAHAJA, LARANG ARAK SEKALI – PPIM
https://malaysiagazette.com/2022/06/08/bukan-rokok-dan-vape-sahaja-larang-arak-sekali-ppim/