Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DAGING ‘TIDAK HALAL’ DILUPUS – UTUSAN MALAYSIA – 16/05/2022
21 May 2022

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengesan baki daging import dari Australia yang telah di­sahkan melanggar prosedur penyembelihan halal dalam negara ini untuk dilupuskan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr. Mohd. Norlizan Mohd. Noor berkata, mana-mana haiwan sembelihan atau daging import yang telah masuk ke negara ini didapati melanggar prosedur dan garis panduan yang ditetapkan tidak akan diluluskan dan diedarkan ke mana-mana pasaran di seluruh negara.

Untuk tujuan itu, katanya, JPV akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain dalam negara seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pihak luar dari Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar (DAWE) Australia untuk memulakan siasatan itu.

“Sebelum bersedia mengambil tindakan lanjut, kerajaan akan menjalankan siasatan terlebih dahulu terhadap pelbagai pihak untuk mendapatkan seberapa banyak data diperoleh berkenaan konsainan yang telah masuk ke negara ini.

“Semestinya kerajaan akan melupuskan mana-mana haiwan sembelihan yang diimport ke negara ini, yang terkait dengan isu keraguan halal dari Australia akan dilupuskan.

Tetapi, sebelum itu, pihak-pihak yang terlibat akan terlebih dahulu menjalankan siasatan dan membuat perkiraan berapa banyak yang sudah masuk ke Malaysia.

“Kita juga akan berhubung dengan Maqis yang menjaga pintu masuk negara, kerana pihak sana yang mempunyai setiap data kemasukan daripada luar negara. Siasatan ini mesti dijalankan secara sistematik dan teratur.

“Jadi, kita mesti melihat dan meneliti dahulu dokumen yang akan diperoleh nanti, sebab kerajaan Australia sendiri, apabila mengeluarkan sijil halal, mereka mesti menyebut sumber-sumber kemasukan daripada mana dan siapa yang mengeksportnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status daging yang telah diimport ke negara ini yang diragui status halalnya ketika kerajaan memutuskan menggantung kelulusan syarikat rumah penyembelihan, Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia, akibat kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan jangkaan dan tempoh masa siasatan dan perolehan data-data konsainan berkenaan.

“Saya tidak boleh jangka lagi bila ia akan selesai dan kami akan menerima. Tanggungjawab ini bukan melihat satu pihak sahaja, sebaliknya banyak pihak yang perlu dirunding secara bersama,” katanya.

Kelmarin JPV dan Ketua Pe­ngarah Jakim, Datuk, Hakimah Mohd. Yusoff dalam satu sidang media memaklumkan, kerajaan menggantung serta-merta terhadap kelulusan diberikan kepada TFI sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh berhubung kes berkenaan.

Selain itu, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Austra­lia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan akan diberi surat tunjuk sebab selain kemungkinan dibatalkan status­nya sebagai badan pensijilan halal diiktiraf Jakim.

Sejak 14 April lalu, Utusan Malaysia mendedahkan status halal rumah penyembelihan haiwan yang diragui apabila prosedur penyembelihan haiwan tersebut didakwa tidak mengikut syariat Islam, bagaimanapun, TFI sebagai syarikat yang didakwa menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Pendedahan itu dibuat oleh seorang bekas pekerja di syarikat berkenaan yang dikenali sebagai Abdullah berdasarkan bukti-bukti rakaman video, ga­ris masa rakaman yang menggambarkan haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

Sumber terbabit juga yang juga bekas penyembelih haiwan di syarikat rumah sembelihan itu tampil mengakui segala dakwaan didedahkan mempu­nyai bukti bergambar dan video di­kongsi adalah benar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa supaya kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh tanpa berlaku sebarang penyelewengan berhubung kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal pusat penyembelihan berkenaan.

Beliau juga menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah Malaysia (SPRM) turut serta dalam siasatan itu memandangkan isu tersebut sudah lama berlaku namun tidak didedahkan kepada awam.

“Bukti sudah ada dan kerajaan mesti memberikan jaminan bahawa isu ini akan diselesaikan secepat mungkin, kalau tidak, semua orang akan hilang kepercayaan terhadap integriti pihak berkuasa.

“Sebagai penganut Islam, adalah memalukan sekiranya kita mendiam isu ini kerana ia melibatkan pemakanan dan kebersihan. Apabila melibatkan amalan, kita tidak boleh berkompromi dan sewajarnya dihentikan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman pula berkata, siasatan perlu dilakukan segera meskipun menyedari mencabar kerana bersangkut-paut dengan pihak negara luar.

“Jakim perlu sentiasa memantau bahawa setiap garis panduan ditetapkan diikuti oleh syarikat-syarikat rumah penyembelihan. Pun begitu, apa yang dilakukan kerajaan melalui Jakim dengan menggantung kelulusan syarikat ini adalah wajar,” katanya. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

DAGING ‘TIDAK HALAL’ DILUPUS

https://www.utusan.com.my/berita/2022/05/daging-tidak-halal-dilupus/