Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PASTIKAN HARGA MAKANAN ASAS TERKAWAL – KENYATAAN MEDIA PPIM – 23/05/2022
23 May 2022

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik langkah kerajaan dalam menangani krisis harga makanan di negara ini.

Susulan pengumuman kerajaan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun nanti, PPIM berharap banyak lagi langkah akan diambil bagi memastikan harga makanan di pasaran tempatan dapat dikawal.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata tindakan kerajaan itu tepat dan amat diperlukan rakyat pada masa kini.

“Makanan adalah asas kehidupan rakyat, apa guna ada kerajaan jika rakyat kelaparan, tidak mampu mendapatkan bahan asas untuk meneruskan kehidupan mereka,” tegasnya.

PPIM turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula keperluan rakyat dan membuat keputusan yang wajar serta tidak tergesa-gesa seperti sebelum ini.

“Kita lihat kerajaan kita agak terkebelakang dalam membuat keputusan, apabila keadaan sudah amat meruncing barulah kabinet akan bermesyuarat untuk berbincang sedangkan isu harga makanan asas yang tinggi bukanlah perkara yang baru,” katanya.

Tambah Nadzim, mungkin generasi muda negara ini tidak mengingatinya namun apabila berlaku krisis ekonomi global, perkara pertama yang terjejas adalah harga bahan api, makanan dan sebagainya termasuk kadar pengangguran semakin meningkat.

“Dua tahun dunia dikurung akibat COVID-19 takkan tidak ada seorang pun pakar ekonomi negara ini yang dapat menjangka kesannya kepada ekonomi dunia seterusnya kepada negara,” katanya.

Nadzim turut menegaskan kepada pihak yang meminta rakyat untuk mengurangkan memakan ayam bagi mengelakkan perbelanjaan yang tinggi agar turun ke padang dan lihat sendiri kesusahan rakyat.

“Jika tak makan ayam rakyat nak makan apa? Ulat? Serangga? Ubi kayu? Untuk pengetahuan pihak yang mungkin terlalu sibuk mengisi poket sendiri, ayam adalah sumber protein yang paling murah berbanding produk lain seperti ikan dan daging,” katanya.

Nadzim berkata jika dibandingkan harga ayam sekilo adalah RM8.90, harga ikan kembung sekilo boleh mencecah RM14 dan sekilo ikan kembung tidak mampu menampung keperluan satu keluarga.

“Nak suruh orang beli daging, sekilo paling murah pun RM15, habis tu rakyat nak makan apa, wahai yang berhormat yang bijaksana, apa lagi pilihan yang rakyat ada,” katanya.