Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
DAWE AUSTRALIA MULAKAN SIASATAN – UTUSAN MALAYSIA – 17/04/2022
21 Apr 2022

PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar (DAWE) Australia sedia melakukan siasatan dalam isu melibatkan dakwaan keraguan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di negara berkenaan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia,  penyelidik bebas warganegara berkenaan, Murray Hunter berkata, ia berdasarkan maklum balas yang diterimanya semalam menerusi satu emel oleh DAWE yang menghargai usahanya membangkitkan isu berkenaan bagi perhatian agensi itu.

Katanya, menerusi maklum balas itu, DAWE menyatakan bahawa pihaknya memandang serius isu berkenaan dan memberi jaminan akan meneliti segala maklumat yang disertakan untuk tujuan siasatan.

“Kesediaan DAWE untuk melakukan siasatan amat dihargai. Justeru, kita perlu memberi ruang kepada pihaknya untuk mendapatkan pengesahan sebelum membuat kesimpulan apa yang berlaku di lapangan sebenar,” katanya di sini semalam.

MURRAY HUNTER

Laporan muka depan Utusan Malaysia sejak tiga hari lalu mendedahkan, status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apa­bila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor mendakwa, beliau mempu­nyai bukti menerusi maklumat daripada pekerja rumah pe­nyembelihan itu termasuk rakaman video yang mendedahkan ketidakpatuhan prosedur pe­nyembelihan halal yang berlaku bertahun­-tahun.

Pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan itu turut diakui Hunter yang mendakwa, pengabaian pematuhan protokol sijil halal itu pernah dibangkitkan pihak tertentu sebelum ini pada 2019, namun ia didapati masih berterusan berdasarkan pengakuan saksi dan pelbagai dokumen yang diperoleh.

Namun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah meminta penjelasan daripada Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc. (SICHMA) dan telah mendapat maklum balas segera daripada agensi itu.

Agensi itu juga telah dimaklumkan Pegawai Atase Halal Jakim di Canberra, yang menjalankan audit berkala ke atas Thomas Foods Industries dan mendapati ia mematuhi peraturan ditetapkan.

Rentetan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula tampil dan bakal membongkarkan lebih banyak lagi isu daging import yang diragui status halalnya berhubung isu daging yang diimport dari negara-negara luar yang dipercayai tidak mendapat perakuan sijil halal tetapi banyak dijual dalam pasaran negara ini.

FAIZAN MOHD. NOR

Dalam pada itu, Faizan berkata, segala bukti berkaitan pendedahan sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia itu yang status halalnya didakwa diragui, adalah daripada sumber sahih.

Katanya, semua dokumen yang diperoleh bukan meragukan demi mengambil kira kepentingan orang Islam yang perlu mempunyai kewajipan memberitahu kebenaran kepada masyarakat.

Beliau berkata, dalam mengatasi isu itu, beliau tidak ada keyakinan sekiranya hanya Jakim dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya berpandangan dan berpendapat dengan tegas, Malaysia sedang mengalami isu integriti yang amat serius. Apa yang dihadapkan kepada saya daripada sumber yang sahih dan bukan meragukan.

“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk tidak makan dan membeli daging import sekiranya timbul was-was serta unsur syubhah. Ia melibatkan halal dan haram dan kita tidak mahu bangkai dihadapkan di meja makan kita,” katanya. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

DAWE AUSTRALIA MULAKAN SIASATAN

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/04/dawe-australia-mulakan-siasatan/