KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2022 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal ada syarikat gergasi pengeluar makanan ayam negara ini sanggup membekalkan dedak tidak berkualiti kepada penternak kontrak yang kandungannya dipercayai boleh menjejaskan kesihatan sehingga berisiko menyebabkan penyakit kanser kepada pengguna.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan@toqqi berkata, bahan makanan kitar semula yang berisiko tercemar yang dijadikan dedak ayam sudah tentulah akan mendedahkan manusia kepada pelbagai masalah kesihatan terutama kanser. Perkara ini adalah hasil daripada makanan yang di import dari luar negara ataupun inisiatif yang datang dari luar negara.
Menurutnya, boleh jadi perkara ini sengaja dibuat ataupun pihak yang terlibat tidak membuat kajian terlebih dahulu tetapi yang menghairankan mengapa institusi kita tidak membuat pemeriksaan dan pengesahan terhadap keselamatan bahan-bahan yang diimport sehingga dibiarkan berlarutan.
“Kita lihat antaranya jagung pun diimport dari jagung luar negara, jadi macam mana kita nak dapatkan hasil yang memuaskan, sampaikan ayam yang kita pelihara pun makanannya seperti jagung perlu diimport dan perkara ini sebenarnya tidak masuk akal.”
“Jadi saya melihat perkara ini adalah antara sebab utamanya adalah kelemahan daripada institusi-institusi di dalam negara kita yang mungkin tak buat kerja lah,”ujarnya.
Maka, selepas ini jika adalah lagi pihak yang terus mengimport makanan ternakan dari luar ini perlulah disemak secara detail termasuk pengesahan dari segi kesihatan produk berkenaan. Jangan ambil sambil lewa. Apabila sudah ada isu timbul seperti ini sudah tentu pihak yang terbabit perlu menjalankan tugas-tugas mereka turun padang, siasat dan kaji.
“Buat kerjalah nak tunggu apa lagi, buat kajian secara terperinci, bukannya kita tidak ada pakar,” tegasnya.
Ditanya, sejauh mana Kerajaan peka terhadap kajian daripada penyelidik yang dibuat persatuan penternak ayam menunjukkan kadar toksik dalam dedak itu boleh menyebabkan kanser kepada orang yang makan ayam?
Menurut Toqqi, sebenarnya setiap agensi yang dilantik ataupun ditubuhkan dan terlibat dengan perkara-perkara bersangkutan perlu mengambil peranan serius. Agensi kena buat sesuatu, jangan nak tunggu kena tekan baru nak bergerak, di mana sikap dan tanggungjawab yang diberi untuk memastikan hal-hal seumpama ini dapat diatasi ataupun lebih tepat dapat dielakkan. Buat semakan, perlu ambil inisiatif dan perbanyakkan kajian supaya hal berkenaan dengan dedak ayam ini tidak menjadi lebih teruk lagi di masa akan datang.
“Bagi saya hal ini tidak sepatutnya terjadi dan tidak masuk akal, seolah-olah pihak yang diberi tanggungjawab untuk memantau hal ini seperti tidak tak buat kerja.”
Banyak persoalan dari masyarakat awam yang juga pengguna, mengapa tidak diwujudkan sahaja akta bagi mengawal kartel pengeluar supaya tidak lagi meletakkan apa sahaja ramuan di dalam dedak ayam di Malaysia untuk mengeluarkan produknya?
Beliau berkata, ini pun masalah juga, bukan tidak boleh diwujudkan akta untuk mengawal kartel pengeluar ini supaya tidak lagi meletakkan apa sahaja ramuan di dalam dedak ayam di Malaysia untuk mengeluarkan produk. Tetapi malangnya, tidak ada pemimpin yang berani bersuara pun dalam isu ini, mana nak datangnya cadangan, sudahlah cadangan pun tidak ada maka sudah tentulah lagi jauh yang nak menyokong untuk dijadikan akta.
Jadi, antara solusi lain kepada permasalahan ini dan siapakah yang mesti bertanggungjawab sebenarnya adalah kita sendiri perlu mengubah masalah attitude kita, masalah adab dan masalah akhlak kita yang memeningkan kepala kita pasainya kita telah mewujudkan satu budaya yang cukup teruk dalam negara ini di mana kita boleh tengok semua perkara bermula daripada kartel di dalam negara ini. Sehinggakan kartellah yang membuat segala macam polisi.
Persoalannya, kenapa pihak berwajib yang seharusnya memantau, gagal mengesan perkara ini lebih awal?
Menurut Toqqi, kadang-kadang semua ini, dia ada kira-kiranya dan polisi yang dibuat oleh kartel-kartel ini. Kartel-kartel ini sudah duduk di kementerian, di agensi dan membuat polisi itu sendiri sehingga mereka ini jugalah yang memberi arah tuju dan cadangan.
Justeru, kita sepatutnya membuat polisi sendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak seperti kartel-kartel ini. Cukuplah, kita sudah sangat teruk dengan polisi-polisi ini. Maka, sampai masanya kita sendiri mengawal selia seratus peratus polisi di dalam negara kita tanpa ada lagi campur tangan kartel-kartel ini.
Timbul juga persoalan mengenai tindakan-tindakan yang dilihat kononnya dikenakan ke atas kartel-kartel seperti ini apabila hal seumpama ini berlaku tetapi ia seolah-olah ringan dan macam just a slap on the wrist.
Maka, sebab itu perlu ada tindakan yang lebih berani dan tegas dari pihak Kerajaan untuk pastikan mereka-mereka ini mengambil pengajaran dan tidak berulang lakukan penganiayaan dan penipuan yang sama. Balik-balik rakyat yang juga merupakan pengguna lah yang menjadi mangsa dan terpaksa menanggung apa saja eksperimen dari kartel-kartel ini.
“Kena ada kesedaran daripada rakyat terhadap hak kepenggunaan terutamanya hak sebagai rakyat. Kita sedar sekarang ini pilihan raya yang semakin dekat jadi pandai-pandailah kita memilih mereka-mereka yang benar-benar boleh bekerja untuk rakyat. Kita perlukan orang-orang yang boleh buat kerja termasuk juga agensi pun kena buat kerja, jangan buat kerja benggong yang menyusahkan dan mengkhianati amanah rakyat,” katanya mengakhiri kenyataan.
Artikel oleh: Samudera.my
‘DEDAK KANSER’: PPIM KESAL SIKAP KARTEL, PENGUAT KUASA
https://www.samudera.my/dedak-kanser-ppim-kesal-sikap-kartel-penguat-kuasa/