Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PRU-15: RAKYAT PERLU PILIH CALON BERINTEGRITI, JANGAN HANYA FOKUS PARTI – GETARAN – 27/10/2022
29 Oct 2022

KUALA LUMPUR – Rakyat negara ini digesa memilih calon atau pemimpin yang berintegriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, sekiranya ingin menentang dan menghapuskan budaya rasuah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada masyarakat yang mengakui sukar untuk memilih parti serta gabungan politik untuk mentadbir kerajaan.

Menurut beliau, ini berikutan sebahagian besar Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak memiliki integriti, sombong dan menyusahkan rakyat disebabkan hanya mementingkan kepentingan peribadi.

Nadzim Johan
Nadzim Johan

“Kami membuka pintu kepada calon yang mahukan sokongan kami. Mereka wajib mempunyai ciri pemimpin baik, jujur, bekerjasama, mempunyai hati dan kebijaksanaan .

“Personaliti terbabit perlu membantu rakyat dan mengharmonikan negara, malah sanggup ke hadapan demi berkorban untuk rakyat”, katanya hari ini.

Nadzim turut menggesa pengundi untuk lebih melihat kepada peribadi calon yang diketengahkan berbanding parti politik, sebagai rujukan memilih wakil rakyat pada PRU-15, November depan.

Menurut beliau, pilihan raya merupakan masa paling tepat buat rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi pendesak untuk ‘membuang’ calon yang tidak menepati citarasa rakyat.

“Sebelum PRU-15, PPIM akan mewujudkan satu gerakan sukarelawan rakyat mengikut perlembagaan dan kemanusiaan. Menerusi gerakan ini, semua NGO boleh menyuarakan hasrat dan kemarahan mereka kepada calon jika gagal melakukan yang terbaik dan menipu. 

“Saya juga meminta rakyat supaya menggunakan hak mereka sebagai pengguna bijaksana,” katanya. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 20 Oktober lalu menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU-15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

 Abdul Ghani Salleh
Abdul Ghani Salleh

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala 15 November adalah tarikh untuk mengundi awal. 

Menurut beliau, tempoh berkempen dilanjutkan kepada 14 hari bermula selepas hari penamaan calon, berbanding 11 hari pada PRU-14.

Abdul Ghani berkata, SPR akan menggunakan daftar pemilih tambahan Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober lalu, dan menyenaraikan 21,173,638 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRU-15. 

Daripada jumlah terbabit, jelasnya, 20,905,366 adalah pengundi biasa manakala 146,737 merupakan anggota tentera serta pasangan dan 118,794 lagi terdiri daripada anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pasangan masing-masing. – Getaran, 27 Oktober 2022.

Artikel oleh: Getaran

PRU-15: RAKYAT PERLU PILIH CALON BERINTEGRITI, JANGAN HANYA FOKUS PARTI

https://www.getaran.my/artikel/semasa/33791/pru-15-rakyat-perlu-pilih-calon-berintegriti-jangan-hanya-fokus-parti