Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘DISKODENG’ AH LONG, KERAJAAN PATUT BELA NASIB MANGSA BANJIR – GETARAN – 30/12/2021
05 Jan 2022

KUALA LUMPUR – Perkara paling sukar dihadapi mangsa bencana banjir untuk memulakan kembali kehidupan pasca musibah itu adalah kekangan kewangan.

Kesulitan itu kerana bukan sedikit kos perlu dikeluarkan untuk membaik pulih kediaman, menggantikan barangan rosak dan menampung kerugian harta benda.  

Di saat ramai berdepan kesempitan akibat bencana itu, pemberi pinjaman tanpa lesen atau ah long pula bijak mengatur langkah memasang perangkap dengan menawarkan pinjaman kepada mangsa, seperti dibongkarkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata keadaan itu berpunca daripada situasi mangsa banjir yang ramai terdesak untuk mendapatkan sumber kewangan.

Ah long pula seperti diketahui ramai, katanya, menyediakan prosedur peminjaman wang yang cepat dan mudah.

Jelasnya, gabungan antara desakan dan kemudahan tawaran itu, menyaksikan ada mangsa banjir terus menandatangani dokumen untuk mendapatkan wang tanpa menyedari bahawa mereka sedang ‘meletakkan tengkuk di tali gantung’.

Nadzim Johan
Nadzim Johan

Mengulas isu terbabit, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof Datuk Dr N Marimuthu, berkata kerajaan harus menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dalam membela kebajikan mangsa banjir bagi memastikan mereka tidak mengambil tindakan untuk berhutang dengan ah long yang pastinya menjerat diri.

Dalam situasi sukar dihadapi mangsa banjir, jelasnya, kerajaan perlu mempermudahkan urusan mereka untuk memulakan kehidupan baharu, termasuk memberikan bantuan kewangan tertentu.

Katanya, jika mangsa banjir memerlukan pinjaman kewangan daripada institusi perbankan, kerajaan seharusnya mengarahkan pihak berkenaan untuk memberikan kemudahan kelulusan segera, iaitu dalam tempoh sehari atau dua hari.

“Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri cakap dia yang akan menjamin untuk memudahkan urusan mereka (mangsa banjir), jadi kenapa perlu ada isu terpaksa meminjam dengan ah long.

“Ini adalah tanggungjawab sosial kerajaan, jadi kalau kerajaan sendiri tak nak bertanggungjawab terhadap apa-apa keperluan atau masalah rakyat, tidak perlulah jadi pemimpin.

“Kalau kita kahwin pun suami isteri ada peranan masing-masing, jadi sekiranya tak menjalankan peranan ini, kenapa masih nak meneruskan perkahwinan,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Marimuthu berkata, pihaknya turut berpendapat bahawa pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun mangsa tidak sepatutnya diluluskan.

Tegasnya, KWSP adalah wang hasil titik peluh pekerja yang sepatutnya dinikmati mereka untuk menampung perbelanjaan hari tua demi kemudahan kelangsungan hidup.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan seharusnya menyediakan kewangan khas untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

“Jangan suruh mangsa banjir ini keluarkan wang KWSP sebab itu duit mereka sendiri, kenapa kena ambil untuk keperluan banjir yang sepatutnya bantuan terbabit menjadi tanggungjawab kerajaan.

“Pinjaman pun saya fikir tidak sepatutnya ditawarkan kepada mangsa banjir ini kerana mereka tetap kena bayar semula walaupun diberikan tanpa faedah. Kerajaan harus sediakan dana bantu mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Marimuthu berkata, kerajaan wajar memperbaiki kelemahan kepimpinannya dalam menguruskan banjir sebaik mungkin demi membela nasib golongan terjejas, sekali gus memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan di atas kesusahan mereka.

“Ketika ini kelemahan kerajaan dan kepimpinan kita urus banjir memang ketara. Jangan sampai ada pihak ambil kesempatan.

“Apapun, FOMCA menasihatkan mangsa banjir supaya jangan sekali-kali mendapatkan pinjaman dengan ah long dan menjerat diri,” katanya. – Getaran, 30 Disember 2021

Artikel oleh: Getaran

‘DISKODENG’ AH LONG, KERAJAAN PATUT BELA NASIB MANGSA BANJIR

https://www.getaran.my/artikel/semasa/16946/diskodeng-ah-long-kerajaan-patut-bela-nasib-mangsa-banjir