Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
GUNA NAMA WANITA MELAYU PIKAT PEMINJAM SKIN KWSP – HARIAN METRO – 06/02/2022
09 Feb 2022

Putrajaya: Sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau Along kini semakin licik apabila menggunakan nama wanita Melayu bagi memerangkap peminjam terdesak melalui skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menerusi kenyataan media hari ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal dan menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik ditawarkan melalui pelbagai aplikasi secara dalam talian itu, terutama membabitkan golongan Melayu.

PPIM berkata, taktik itu menunjukkan seolah-olah mereka adalah seperti institusi kewangan profesional bagi memikat pelanggan yang berhadapan masalah kewangan.

“Sindiket ini menawarkan skim pinjaman boleh dibayar balik ketika tiba tempoh pengeluaran KWSP dan mensasarkan golongan hilang punca pendapatan, hilang pekerjaan dan kerugian dalam bidang perniagaan.

“Taktik ini digunakan ketika orang ramai masih berhadapan kemelut Covid-19 dan dalam situasi sekarang, ramai terperangkap berikutan pembayaran balik menggunakan wang KWSP yang tinggi serta tidak munasabah,” katanya.

Menurut PPIM, pengguna dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan iklan along dan mencari kaedah lain untuk menyelesaikan masalah kewangan.

“Iklan ditawarkan itu sama seperti ditawarkan institusi kewangan berlesen, cuma memberikan kelonggaran ketara daripada segi pembayaran balik.

“PPIM menyarankan agar kerajaan menimbang semula permintaan pendeposit yang berhadapan masalah kewangan untuk meluluskan pengeluaran KWSP agar tidak jatuh ke tangan Along dan merugikan penyimpan dengan pembayaran balik tinggi.

“Kementerian Kewangan perlu memberikan pertimbangan khusus kepada isu ini kerana rata-ratanya masih lagi terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

GUNA NAMA WANITA MELAYU PIKAT PEMINJAM SKIN KWSP

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/02/807575/guna-nama-wanita-melayu-pikat-peminjam-skim-kwsp