Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KEPUTUSAN PERMOHONAN SEMAKAN KEHAKIMAN PPIM, 3 DOKTOR PADA 1 MAC – MALAYSIA KINI – 07/02/2022
09 Feb 2022

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan tiga doktor akan mengetahui pada 1 Mac sama ada mereka mendapat kebenaran mahkamah untuk meneruskan tindakan undang-undang bagi memaksa kerajaan menjawab soalan mengenai langkah yang telah diambil untuk membendung Covid-19 di Malaysia.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh bendahari PPIM Tengku Faedzah Raja Fuad, serta tiga doktor – Dr Hafiz Sulaiman, Dr Roland Victor Aloysius Victor dan Dr Sani Ashari.

Wakil kerajaan, peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, mengesahkan tarikh keputusan itu ditetapkan, berikutan pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman awal hari ini.

“Tadi (hari ini) adalah pendengaran (permohonan) kebenaran untuk semakan kehakiman. Keputusannya pada 1 Mac,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jika kebenaran diberikan, Mahkamah Tinggi kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk mendengar hujahan daripada pihak-pihak mengenai merit semakan kehakiman yang sepatutnya.

Pada 27 April tahun lepas, media melaporkan PPIM dan tiga doktor itu memfailkan semakan kehakiman, yang menyenaraikan tiga responden – kerajaan persekutuan, Kementerian Kesihatan dan ketua pengarah kementerian kesihatan.

Peguam tiga pemohon itu, Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata PPIM pada 20 Jan tahun lepas telah menghantar pertanyaan kepada kementerian daripada orang ramai dan kementerian itu didakwa masih belum menjawab.

“Kami meminta kerajaan bertindak balas terhadap perkara ini dan menghentikan penyebaran berita palsu.

“Semakan kehakiman itu difailkan atas dasar kepentingan awam,” kata peguam itu ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berhubung tindakan undang-undang itu.

Tiada jawapan kepada pertanyaan awam

Dilaporkan melalui dokumen mahkamah, PPIM dan tiga doktor mendakwa mereka terjejas dengan dakwaan responden tidak menjawab pertanyaan awam yang disenaraikan dalam surat yang ditulis pada 20 Jan tahun lepas.

Antara kandungan surat yang dilaporkan adalah soalan mengenai langkah-langkah yang diambil untuk mengenal pasti Covid-19, pelaksanaan perolehan vaksin, penggunaan jenis ubat lain untuk merawat jangkitan virus, serta had yang dikenakan kerajaan berhubung bilangan jemaah dibenarkan masuk ke dalam masjid.

Dilaporkan juga ketua aktivis PPIM Nadzim Johan berkata kerajaan perlu menjawab pertanyaan itu, bagi memaklumkan kepada rakyat tentang tindakan yang telah dilaksanakan pihak berkuasa untuk memerangi penularan wabak itu di negara ini.

Beliau dilaporkan mendakwa bahawa sikap tidak konsisten di pihak kerajaan mengenai peraturan yang diguna pakai bagi membendung Covid-19 telah menjejaskan rakyat.

Artikel oleh: Malaysia Kini

KEPUTUSAN PERMOHONAN SEMAKAN KEHAKIMAN PPIM, 3 DOKTOR PADA 1 MAC

https://www.malaysiakini.com/news/609742