Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HARGA TIKET KAPAL TERBANG MURAH HANYA SEMENTARA – UTUSAN MALAYSIA – 18/04/2022
21 Apr 2022

PETALING JAYA: Harga tiket kapal terbang terutama ke Sabah dan Sarawak yang diturunkan dijangka tidak bertahan lama dan akan kembali mahal jika kerajaan tidak melakukan sesuatu untuk mengawal `permainan’ syarikat pengendali.

Kelmarin orang awam yang menyemak tiket penerbangan untuk pulang menyambut Aidilfitri lega apabila harga tiket ke kedua-dua negeri itu turun mendadak iaitu tidak lebih RM1,200 bagi satu hala penerbangan berbanding sebelum ini sampai RM4,000.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, penurunan harga tiket itu disifatkan sebagai ‘kawalan kerosakan’ dengan niat meredakan keadaan.

Menurut beliau, syarikat pengendali penerbangan negara ini terpaksa menurunkan harga tiket buat sementara waktu setelah teruk dikecam orang ramai sehingga mendapat perhatian Menteri Pengangkutan dan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, kata Jacob, selepas beberapa ketika, syarikat-syarikat penerbangan tempatan tersebut diramal akan menaikkan semula tambang mahal.

“Isu tiket kapal terbang mahal menjelang perayaan sudah lama berlaku dan ia akan terus berlaku selagi kerajaan tiada pelan strategik bagi mengimbangi serta mengawal harga tambang berkenaan.

“Bila tiket mahal orang ramai mengeluh lagi dan syarikat terlibat masih boleh terus ‘bermain kad’ bersetuju meletakkan harga murah, namun hanya bersifat sementara,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Pelan pelancongan

Oleh itu, Jacob memberitahu, kerajaan dan syarikat turut disarankan merangka pelan pelancongan domestik yang mengekalkan harga mampu beli dan pada masa sama, jumlah penumpang masih memuaskan meskipun bukan musim perayaan.

“Buatlah program dua dalam satu untuk menggalakkan aktiviti pelancongan antara negeri. Dalam usaha untuk mengekalkan jumlah penumpang, harga pula masih mampu ditanggung pengguna.

“Namun, hingga hari ini saya belum mendengar rancangan Kementerian Pelancongan. Apabila syarikat penerbangan sudah turunkan harga tiket, kita (kerajaan) ambillah peluang untuk merancang program baharu selepas musim perayaan, jadi orang ramai akan menggunakan perkhidmatan yang ada.

“Saya berpandangan, pasti harga kembali ke asalnya (mahal) kerana syarikat penerbangan tidak boleh sustain dengan jumlah penumpang dalam kapal yang kurang selepas Aidilfitri. Jadi, rancanglah program yang boleh kekalkan harga rendah pada masa sama masih ramai yang akan melancong,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Melonjak 20 kali ganda

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan, harga tambang kapal terbang terutama ke Sabah melonjak 20 kali ganda atau 2000 peratus daripada harga asal, menyaksikan harganya antara RM1,800 hingga hampir RM4,000 untuk penerbangan sehala.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, Mingguan Malaysia melaporkan bahawa harga tiket ke beberapa destinasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menurun secara purata kurang daripada RM1,000 sehala selepas laporan harga tiket ke Sabah lebih mahal berbanding harga tiket ke London.

Penurunan harga secara tiba-tiba itu selepas Kementerian Pengangkutan mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjalankan siasatan berhubung kenaikan harga tambang tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan mengambil langkah bijak dengan mengarah supaya siasatan dijalankan, selain tindakan pantas syarikat berkenaan menurunkan harga tiket kapal terbang sebelum 3 Mei ini.

Selain itu, beliau menggesa KPDNHEP membantu memantau supaya harga tiket penerbangan sentiasa di bawah garis kemampuan pengguna.

“Semua ini tidak akan berlaku tanpa tekanan daripada orang ramai. Jika tidak, takkan ada tindakan daripada syarikat terlibat untuk menurunkan harga. Rakyat kena bekerjasama dengan kerajaan, memantau dari semasa ke semasa. Namun sebagai pengguna juga, kita kena awal membuat perancangan,” katanya. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

HARGA TIKET KAPAL TERBANG MURAH HANYA SEMENTARA

http://HARGA TIKET KAPAL TERBANG MURAH HANYA SEMENTARA