Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MACAU SCAM INTAI WANG 5.3 JUTA AHLI KWSP – KOSMO – 18/04/2022
22 Apr 2022

PETALING JAYA – Polis mengesan sindiket Macau Scam ketika ini sedang ligat menyasarkan banyak pihak terutama 5.3 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bakal menerima wang RM40.1 bilion ke­seluruhan mulai 20 April ini untuk diperdaya.

Ia ekoran tular di laman sosial memaparkan orang ramai berkongsi mesej penipuan yang diterima kononnya akaun kewa­ngan pencarum dibekukan dan menyukarkan pengeluaran KWSP.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sindiket akan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan kod percuma iaitu 63839 kepada mangsa secara rambang.

Katanya, SMS itu mengatakan mangsa perlu menjelaskan tunggakan pembiayaan atau pinjaman daripada institusi kewangan jika tidak mahu proses pengeluaran KWSP menjadi sulit.

“Mangsa akan diberi beberapa nombor untuk dihubungi kononnya bagi menyelesaikan masalah tersebut. Jika dihubungi, mangsa akan disambungkan kepada balai polis, mahkamah atau Lembaga Hasil Dalam Negeri palsu.

“Mangsa yang terpedaya akan menyerahkan butiran peribadi perbankan kepada sindiket sebelum menyedari telah ditipu apabila mendapati duit di dalam akaun bank lesap,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

MOHD. KAMARUDIN

Menurut Kamarudin, polis atau pihak berkuasa lain tidak akan meminta butiran perbankan mana-mana pihak dan orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati supaya tidak tertipu.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai sindiket tersebut sejak awal bulan ini.

“Peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding daripada bulan-bulan lain.

“Ini menunjukkan sindiket begitu peka dengan perkembangan semasa dan akan terus memperdaya mereka yang tidak ambil tahu mengenai amaran dan pe­ringatan pihak berkuasa mengenai modus operandi sedemikian,” katanya.

Menurut Nadzim, sindiket berkenaan turut menggunakan pelbagai cara sama ada dalam bentuk tawaran, saman dan tunggakan pinjaman bagi mendapatkan perhatian mangsa.

“Kebiasaannya, mereka akan menggunakan taktik seperti tawaran pelaburan, kerja, tunggakan pinjaman dan saman.

“Jadi orang ramai perlu berhati-hati dan tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi terutama akaun bank dan alamat rumah supaya tidak terpalit de­ngan kes penipuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nadzim menasihatkan orang ramai untuk memaklumkan kepada PPIM sebelum membuat sebarang komitmen.

“Kita tahu ada banyak jenis tawaran. Ada juga yang tawar sebagai ejen dan pengedar produk. Bagaimanapun, sebelum membuat komitmen, mereka boleh maklumkan kepada kami. Sekurang-kurang kami tahu dan pengguna juga tidak rugi,” jelas­nya.

Artikel oleh: Kosmo

MACAU SCAM INTAI WANG 5.3 JUTA AHLI KWSP

https://www.kosmo.com.my/2022/04/18/macau-scam-intai-wang-5-3-juta-ahli-kwsp/