Bagaimanapun, semua urusan permohonan pinjaman seperti borang koperasi dan dokumen lain diuruskan dalang terbabit yang hanya menghubungi peminjam untuk mengeluarkan wang menerusi draf bank yang dipindahkan ke akaun milik sebuah syarikat.
Katanya, kumpulan terbabit turut menjadikan kecanggihan teknologi maklumat untuk mendapatkan maklumat peribadi orang ramai yang diperoleh menerusi laman sosial Facebook dengan menjadikan penjawat awam di Lembah Klang sebagai mangsa.
Menurutnya, mangsa akan diperdaya dengan dakwaan kononnya pinjaman itu mendapat kelulusan kerajaan dan menunjukkan bukti koperasi sebagai badan yang dipertanggungjawabkan menguruskan kewangan itu sehingga diluluskan.
“Ramai di kalangan mereka (dalang) terbabit bergelar jutawan hasil daripada kadar caj pinjaman dan imbuhan tinggi yang dikenakan kepada pemohon. Mereka mengaku menjadi ejen koperasi, tetapi ramai yang tidak tahu, SKM sudah mengeluarkan arahan untuk melarang penggunaan ejen oleh mana-mana koperasi di negara ini.
“Berdasarkan aduan, ada peminjam yang dikenakan caj 12 peratus iaitu kadar yang terlalu tinggi jika dibandingkan caj biasa yang diterima koperasi sebanyak satu peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Sebelum itu, beliau menerima kunjungan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mengadakan pertemuan dengannya untuk menyelesaikan satu kes terbaru membabitkan penipuan pinjaman bernilai RM111,000.
Menurut Md Yusof, pemantauan pihaknya juga mendapati rata-rata peminjam yang menjadi mangsa adalah penjawat awam yang baru bekerja dan tidak tahu membezakan antara skim yang dibenarkan atau didalangi pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan semata-mata.
“Kami percaya sindiket menggunakan koperasi tertentu ini didalangi along yang turut menawarkan skim cepat kaya untuk menipu orang ramai yang terpedaya helah licik mereka,” katanya.
Menurutnya, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menjalankan siasatan lanjut bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Katanya, pihaknya menerima banyak aduan orang ramai terutama penjawat awam yang terpedaya dengan tawaran sindiket terbabit yang mengakibatkan mereka terpaksa menanggung bebanan hutang pinjaman yang tinggi.
Md Yusof berkata, mana-mana koperasi yang terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 64 dan 66 Akta Koperasi dan jika sabit kesalahan, tindakan menggantung, membubar atau memecat ahli lembaga koperasi berkenaan akan diambil.
“Kami juga mengambil tindakan membekukan kod Biro Pemotongan Angkasa (BPA) yang diberikan kepada koperasi terbabit bagi menghalang mereka daripada menjalankan kegiatan baru dan hanya boleh menjalankan urusan sedia ada seperti pungutan hutang.
“Kebanyakan ejen ini agresif, mereka akan buat apa saja untuk menarik peminjam kerana imbuhan yang menanti adalah tinggi. Justeru, kami menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat pinjaman, sebaliknya merujuk kepada SKM terlebih dulu bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai status koperasi,” katanya.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Pinjamkoperasialong/Article