IKLAN menawarkan pakej korban yang berpatutan nampaknya akan muncul tidak lama lagi memandangkan hari raya Aidiladha semakin hampir.
Pada Selasa, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, pengguna perlu menyemak sama ada syarikat yang menawarkan pakej tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Pengguna juga perlu menyemak maklumat perbankan atau nombor telefon syarikat berkenaan di laman web semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat transaksi secara dalam talian.
“Jika tanda amaran muncul, laporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya iklan itu dapat disekat bagi mengelak orang lain ditipu,” katanya kepada Bernama.
Yang Dipertua Ikram Health Malaysia, Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkata, orang ramai perlu memastikan institusi yang menyediakan atau menganjurkan program korban Aidiladha adalah sah dan bebas daripada penipuan.
“Pengguna perlu membuat tinjauan harga pasaran dalam talian, harga pakej yang terlalu murah kebiasaannya merupakan satu skim penipuan,” tambahnya.
Duta Yayasan Maghfirah, Mohammad Hafiz Hamidun berkata, pembeli perlu memastikan nama badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat yang menjalankan ibadah korban boleh dipercayai.
Beliau berkata, orang ramai perlu berhati-hati dengan iklan di media sosial yang menawarkan pakej perkhidmatan ibadah korban Aidiladha di dalam dan luar negara.
“Bagi mengelak daripada menjadi mangsa, sebaiknya pilih pakej korban dari pihak NGO terkemuka yang mempunyai maklumat lengkap mengenai pakejnya, seperti harga, nama NGO, nombor akaun bank yang tepat dan nombor telefon,” katanya.
Beliau turut menyatakan keperluan pihak berkuasa agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang menawarkan pakej palsu.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, orang ramai yang ingin menempah pakej korban Aidiladha perlu menyemak latar belakang syarikat penganjur dan harga yang ditawarkan bagi mengelak ditipu. — The Star
Artikel oleh: Majoriti
HATI-HATI, JANGAN TERTIPU PAKEJ IBADAH KORBAN PALSU
https://majoriti.com.my/berita/2022/06/16/hati-hati-jangan-tertipu-pakej-ibadah-korban-palsu