KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam menyelar tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban dari PKR, S Raveentharan yang menghina Islam apabila mendakwa Islam bukanlah agama yang membawa kepada keamanan.
NGO berkenaan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID) mahu pihak berkuasa bertindak segera menangani isu berkenaan dan memastikan perkara itu tidak berulang.
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, mereka bimbang dan terkesan dengan kenyataan yang disifatkan tidak masuk akal dan tidak sepatutnya berlaku dan tidak seharusnya keluar daripada seorang yang berpendidikan tanpa menggunakan akal.
“Ini adalah kenyataan tidak sesuai dan tidak masuk akal mengatakan Islam adalah agama yang tidak aman. Perkara ini juga mendatangkan penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama dan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Raveentharan mengeluarkan kenyataan menghina Islam itu di Facebooknya. Kenyataan itu mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang meminta beliau memberikan penjelasan, selain mengarahkan satu siasatan dilakukan.
Sementara itu Presiden MHO, Dr Noorazman Mohd Samsuddin, berkata beliau bimbang jika isu berkenaan tidak diambil peduli, peristiwa di Ayodhya, India pada 1952 yang menyaksikan ratusan ribu pengikut Hindu berarak menentang Islam sehingga menyebabkan 2,000 terkorban serta Masjid Babri yang menjadi simbol keislaman dan keharmonian runtuh akan berulang.
“Jika perkara ini ada kena mengena dengan unsur politik, maka cukup-cukuplah menggunakan perkara ini sebagai cara untuk memecahbelahkan keharmonian di negara kita,” katanya.
Timbalan Pengerusi PEMBELA, Mahmud Hishamuddin, berkata kenyataan Raveentharan yang menuduh Islam agama permusuhan ibarat mencabar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan Islam adalah agama Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/259998