PUTRAJAYA: Cadangan pindaan Akta Kastam 1967 yang menaikkan denda minimum RM100,000 terhadap mereka yang memiliki rokok seludup hanya membabitkan penyeludup, penjual dan pengedar yang degil.
Ketua Pengarah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam, berkata hukuman yang dicadangkan itu bagi mereka yang mengetahui memiliki rokok seludup adalah satu kesalahan, dan tidak akan membabitkan pembeli.
Bagaimanapun, katanya, JKDM juga masih boleh mengenakan kompaun ke atas penjual dan pengedar kecil bagi kesalahan kali pertama pada kadar tidak lebih RM5,000.
“Penjualan rokok tidak sah Kastam yang berleluasa menyebabkan kerajaan kehilangan hasil berbilion ringgit ini harus diambil kira apabila membicarakan isu rokok seludup.
“Selain itu, ia juga menyebabkan pelbagai masalah gejala sosial kepada masyarakat dan boleh menggagalkan hasrat kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok, sekali gus memupuk amalan cara hidup sihat, ” katanya kepada BH Online, malam tadi.
Hukuman Tidak Setimpal
Beliau mengulas kebimbangan yang disuarakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai cadangan pindaan itu yang boleh menimbulkan banyak kes pesalah teraniaya kerana hukuman tidak setimpal dengan kesalahan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, dilaporkan berkata denda itu sepatutnya dikenakan kepada penyeludup rokok, bukan peniaga kecil atau individu yang memilikinya.
Semalam, Subromaniam dilaporkan berkata, di bawah cadangan pindaan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 yang dijangka dibentangkan di Parlimen Julai depan, sesiapa yang memiliki, menyimpan, mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok, atau menjual rokok atau arak seludup akan dikenakan denda tidak kurang RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun.
Subromaniam berkata, kerajaan sudah menetapkan harga minimum rokok yang dijual di pasaran pada kadar RM9 bagi 20 batang pada 1 Ogos 2015 dan dinaikkan lagi kepada RM10 pada 1 Ogos 2016, dengan duti eksais ditetapkan sebanyak 40 sen untuk setiap batang, tidak termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). “Dengan penetapan harga itu bermakna, tiada rokok yang boleh dijual di bawah harga berkenaan,” katanya.
Selanjutnya di : https://www.bharian.com.my/node/272798