Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ISU HALAL: LEBIH BANYAK DIBONGKAR – UTUSAN MALAYSIA – 16/04/2022
16 Apr 2022

PUTRAJAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan membongkarkan lebih banyak lagi isu daging import yang diragui status halalnya susulan pendedahan rumah penyembelihan haiwan di Australia yang didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan membangkitkan isu daging yang diimport dari negara-negara luar yang dipercayai tidak mendapat perakuan sijil halal tetapi banyak dijual dalam pasaran negara ini

Menurut beliau, perkara itu akan didedahkan minggu depan sebagai mengambil serius isu makanan halal import negara terutama bahan mentah daging sehingga boleh dijual di pasaran terbuka seperti pasar malam dan restoran-restoran.

“PPIM akan bongkar satu kes yang berkaitan daging yang diimport dari beberapa negara yang tidak mempunyai sijil halal tetapi dijual di pasar malam dan restoran-restoran yang mudah dibeli masyarakat kita.

“Ini termasuk isu menukar label, kita perlu berhati-hati kadang-kadang daging yang dibeli itu ditukar label dan pakai label halal. Benda inilah perlu diteliti dan diselidik sebaik mungkin.

“Makanan ini amat penting kerana kita adalah apa yang kita makan. Kalau kita makan benda yang tidak baik, mana nak datang keberkatan,” katanya di sini semalam.

Status halal

Laporan muka depan Utusan Malaysia sejak kelmarin mendedahkan, status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apa­bila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor mendakwa, beliau mempu­nyai bukti menerusi maklumat daripada pekerja rumah pe­nyembelihan itu termasuk rakaman video yang mendedahkan ketidakpatuhan prosedur pe­nyembelihan halal yang berlaku bertahun­-tahun.

Pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan itu turut diakui penyelidik bebas warganegara berkenaan, Murray Hunter yang mendakwa, pengabaian pematuhan protokol sijil halal itu pernah dibangkitkan pihak tertentu sebelum ini pada 2019, namun ia didapati masih berterusan berdasarkan pengakuan saksi dan pelbagai dokumen yang diperoleh.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff dalam kenyataannya semalam berkata, pihak berkuasa Australia melalui Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar (DAWE) telah memberi maklum balas segera dalam isu melibatkan dakwaan keraguan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia.

Jakim

Jakim telah meminta penjelasan daripada pihak Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc. (SICHMA) dan telah mendapat maklum balas segera daripada agensi itu dan telah dimaklumkan Pegawai Atase Halal Jakim di Canberra, yang menjalankan audit berkala ke atas Thomas Foods Industries.

Dalam hal itu, Nadzim berkata, Jakim perlu turun padang untuk membuat semakan secara mengejut di pusat-pusat penyembelihan luar negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada pegawai atase halal Jakim di luar negara.

Beliau mencadangkan, juruaudit pihak ketiga boleh dilantik untuk membuat pemeriksaan dan pemantauan khas itu supaya tidak timbul isu keraguan dari aspek integriti dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Ini termasuk, katanya, pihak Jakim perlu memanggil pengurusan dalam aspek pematuhan halal untuk mewujudkan sistem penyiasat di lapangan secara serbuan kerana isu pemantauan masih menimbulkan tanda tanya selepas setiap sijil halal diluluskan.

Selain itu, kata beliau, satu sistem aplikasi semakan setiap daging yang diimport perlu diwujudkan yang boleh diakses pengguna secara terus bagi mengetahui secara terperinci segala maklumat berkaitan dari mana daging itu datang, bermula di ladang hingga ke meja makan.

“Maknanya, pengguna boleh akses melalui mengimbas QR kod yang tertera di label daging itu dan boleh mengetahui secara lengkap maklumat iaitu ladang mana, siapa penyembelih, siapa pengimport dan sebagainya.

“Melalui teknologi blockchain ini tidak ada pihak boleh manipulasi. Kita melihat benda ini amat penting, menjaga halal adalah tugas Jakim dan tahap piawaian perlu ditingkatkan lagi. Perkara ini perlu diteliti dan diselidik supaya tidak ada ruang untuk kita makan benda haram,” katanya.- UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

ISU HALAL: LEBIH BANYAK DIBONGKAR

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/04/isu-halal-lebih-banyak-dibongkar/