Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TIKET KAPAL TERBANG MAHAL, NGO HANTAR SURAT PADA PM – UTUSAN MALAYSIA – 16/04/2022
16 Apr 2022

KUALA LUMPUR: Persatuan pengguna (NGO) akan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Isnin ini, bagi membantah kenaikan harga tiket penerbangan sehingga hampir RM4,000 sehala menjelang Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr. N. Marimuthu berkata, pihaknya mengambil langkah drastik itu selepas Kementerian Pengangkutan lambat memantau dan menyelaraskan harga tiket kapal terbang.

“Saya sendiri akan tulis surat kepada Perdana Menteri Isnin ini. Masalah ini tidak sepatutnya berlaku. Kerajaan mesti mengawal harga tiket kapal terbang, sudah dua tahun rakyat tidak pulang ke kampung untuk beraya, tapi kali ini masih tidak dapat pulang sebab tiket terlalu mahal.

“Apabila berlaku kejadian macam ini, syarikat penerbangan seolah-olah mahu kaut untung atau mengambil kesempatan ketika rakyat masih dalam kesempitan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Harga tambang

Beliau berkata demikian mengulas mengenai harga tambang kapal terbang terutama ke Sabah yang melonjak 20 kali ganda dari harga asal sehingga mencecah hampir RM4,000 yang disifatkan ‘mencekik darah’.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong semalam berkata, kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat penerbangan tempatan melakukan siasatan menyeluruh berhubung isu kenaikan harga tambang kapal terbang pada musim perayaan.

Ka Siong berkata, siasatan itu penting bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani masalah dan keluhan rakyat.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) segera campur tangan sekali gus memperjuangkan hak pengguna dan bersama Kementerian Pengangkutan untuk berunding dengan penyedia perkhidmatan mengenai harga tiket.

Nadzim memberitahu, pihaknya mengambil maklum kerajaan komited menurunkan harga tambang penerbangan namun beliau mahu memastikan pengguna menggunakan perkhidmatan dengan harga yang selayaknya.

“Kalau kementerian tidak campur tangan, maknanya syarikat penerbangan akan sesuka hati kenakan caj tidak berpatutan. Jadi, saya minta kerajaan turun padang, semak semua kos dikenakan syarikat ini.

“Untuk syarikat penerbangan, janganlah kenakan caj tidak masuk akal, kami tidak melarang mereka membuat untung kerana faham mereka juga terkesan akibat pandemik Covid-19, tetapi, tidak bolehlah ambil kesempatan terhadap situasi rakyat sekarang,” katanya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

TIKET KAPAL TERBANG MAHAL, NGO HANTAR SURAT PADA PM

https://www.utusan.com.my/premium/2022/04/tiket-kapal-terbang-mahal-ngo-hantar-surat-pada-pm/