PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa mengetatkan pemantauan di rumah-rumah sembelihan bagi mengelak insiden tidak mematuhi protokol sembelihan halal dan isu daging halal import yang diragui status halalnya .
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, dalam masa yang sama siasatan perlu dijalankan bagi menentukan dakwaan rumah penyembelihan haiwan di Australia tidak mengikut syariat Islam.
Katanya, jika isu sebegitu terus berlaku meskipun pemantauan sudah dibuat, maka tidak mustahil wujud ketirisan dalam penguatkuasaan sehingga daging yang diragui status halalnya dapat dibawa masuk ke dalam negara.
“Peraturan dalam negara kita telah menetapkan bahawa daging dari luar negara yang mahu dibawa masuk ke Malaysia perlulah daging yang halal.
“Maksudnya, dalam isu status halal daging diragui, maka kemungkinan ada berlaku ketirisan di pintu masuk negara atau dalam mana-mana proses pembekalan daging itu ke Malaysia sehingga menyebabkan daging tidak halal dapat masuk ke dalam negara kita,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Mohd. Yusuf berkata, setakat ini FOMCA tidak menerima sebarang laporan berhubung isu daging halal yang diragui namun menegaskan ia perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan kepentingan pengguna dalam negara.
Khamis lalu Utusan Malaysia mendedahkan terdapat rumah penyembelihan kambing biri-biri di Australia yang mendapat pengiktirafan Malaysia dan Singapura, didapati melanggar protokol sembelihan halal.
Menurut laporan yang disokong saksi, kambing biri-biri dilemaskan dalam darah yang terkumpul daripada haiwan yang disembelih sebelumnya dan bukannya kerana haiwan itu disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.
Susulan itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, semalam memberitahu, pihaknya akan membongkar lebih banyak isu daging import yang diragui status halalnya.
Katanya, pendedahan itu akan dibuat minggu depan sebagai mengambil serius isu makanan halal import negara terutama daging sehingga boleh dijual di pasaran terbuka seperti pasar malam dan restoran-restoran. – UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
JAKIM DIGESA KETATKAN PEMANTAUAN RUMAH SEMBELIHAN
https://www.utusan.com.my/berita/2022/04/jakim-digesa-ketatkan-pemantauan-rumah-sembelihan/