Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JAKIM MINTA PPIM BANTU KESAN ‘ABDULLAH’ – MALAYSIA POST – 17/05/2022
01 Jun 2022

JABATAN Kemajuan Islam (JAKIM) meminta bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk mengesan ‘Abdullah’ bagi membantu siasatan loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata ini kerana lelaki dikenali sebagai ‘The Hood Man’ (Abdullah) yang memberi maklumat berkenaan kes tersebut sudah tidak dapat dikesan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, sebelum ini lelaki berkenaan memberi keterangan kepada Pegawai Atase Halal JAKIM di Australia dan selepas itu dia tidak dapat dihubungi.

Katanya, keterangan dan bukti berkenaan kes ini sangat diperlukan bagi membantu JAKIM menjalankan siasatan menyeluruh.

“Setakat ini JAKIM masih belum menerima surat maklum balas Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan yangdiberi surat tunjuk sebab,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Aplikasi Digital YaPEIM (DiYa) di Putrajaya, hari ini.

Idris berkata, selain TFI terdapat 15 lagi loji sembelihan di Australia dan pihaknya komited memastikan ia mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Katanya, semalam beliau bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff menghubungi Pegawai Atase Halal JAKIM di Australia secara Google Meet dan beliau menjelaskan mengenali ‘Abdullah’ yang bukan nama sebenar dan sudah memberi keterangan berkenaan kes itu.

Katanya, sehingga hari ini individu berkenaan masih gagal dihubungi dan JAKIM meminta bantuan PPIM bagi membantu menghubungi lelaki terbabit.

“JAKIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan individu berkenaan juga tidak perlu takut untuk membantu memberi keterangan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, PPIM bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99 mendedahkan pelanggaran SOP penyembelihan halal oleh Thomas Food International di Australia, yang mendapat kelulusan dari Badan Induk Halal JAKIM.

Presiden Pekemas, Faizan Mohd Nor berkata pendedahan berhubung isu pelanggaran SOP penyembelihan halal di Australia dilaporkan berdasarkan bukti video dan gambar serta diperkukuh saksi (Abdullah) yang dikatakan pekerja sembelihan di TFI.

Justeru pihaknya yakin bahawa terdapat unsur-unsur yang jelas melanggar protokol penyembelihan.

Setakat ini JAKIM sudah menggantung kelulusan loji sembelihan TFI, Australia berkuat kuasa serta merta, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi. – Malaysiapost

Artikel oleh: Malaysia Post

JAKIM MINTA PPIM BANTU KESAN ‘ABDULLAH’

https://malaysiapost.com.my/2022/05/17/jakim-minta-ppim-bantu-kesan-abdullah/