Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ONE WORLD RELIGION ANCAM UMAT ISLAM – PPIM – HARAKAH DAILY – 17/05/2022
01 Jun 2022

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru pihak berwajib memberikan pandangan berhubung ancaman One World Religion yang kini dikhuatiri menjadi suatu ancaman baharu buat umat Islam.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ancaman One World Religion pada ketika ini amat membimbangkan khususnya dengan agenda pihak yang menyokong New World Order atau Tatanan Dunia Baharu.

Menurutnya, One World Religion merupakan antara agenda utama New World Order bagi mewujudkan istilah ‘Kebersamaan dalam Beragama’.

“Ia terbukti dengan terbinanya apa yang dikenali sebagai ‘Abrahamic Family House’ yang menempatkan rumah ibadat Yahudi, gereja kristian dan masjid umat Islam dalam satu komplek yang sama dibina di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang bakal dibuka pada tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan,

Tambahnya, melalui One World Government pula, seluruh negara di dunia akan ditadbir oleh satu pemerintah sahaja. Tiada lagi negara-negara, tiada lagi raja-raja, tiada lagi presiden-presiden.

Nadzim Johan

“Dalam pada itu, menerusi pembentukan One World Military pula, seluruh dunia akan dijaga oleh hanya satu pasukan tentera sahaja dan  melalui One World Currency, yang  mana tiada lagi mata wang bagi setiap negara dan hanya satu mata wang yang  digunakan dikawal oleh One World Government,” jelas beliau.

Terdahulu Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melalui penulisannya dalam HarakahDaily berjudul, Perang Ukraine Melapukkan New World Order menegaskan bahawa New World Order yang diuar-uarkan selepas kejatuhan negara Kesatuan Soviet (Soviet Union) telah menggembirakan blok Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat, yang mendabik dada menjadi kuasa besar tunggal dunia.

“Ia melaungkan propaganda kebebasan serta hak asasi manusia yang berkonsepkan demokrasi dan liberalisme yang disebarkan ke seluruh dunia, yang kononnya menjadi perjuangan dunia yang adil dan aman,” ujarnya melalui artikel tersebut.

Apa yang berlaku, tulis Tuan Guru, hanyalah indah khabar dari rupa sahaja, apabila masyarakat manusia yang berkonsepkan liberal menjadikan mereka lebih bebas daripada binatang yang tidak berakal, sehingga termasuklah embolehkan perkahwinan sejenis dan menggalakkan amalan di luar tabii.

Menurut beliau lagi, pendekatan berkonsepkan New World Order jelas mendokong konsep kolonialisme dan imperialisme yang pernah berlaku zalim terhadap umat manusia diaturkan semula dengan bentuk baharu melalui pengaruh politik, ekonomi, media sehinggalah kepada kuasa ketenteraan secara globalisasi, yang agar seluruh negara dunia tunduk di bawah pengaruh dan kehendak kuasa tersebut.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang

“Malah, sumber tenaga juga menjadi kawalannya termasuklah mata wang dolar diwajibkan menjadi sandaran dan cagaran, selain bahasa Inggeris mahu dijadikan sebagai satu-satunya bahasa ilmu dan perantaraan. Selain itu, hanya media milik mereka sahaja yang benar dijadikan sebagai rujukan walaupun terdapat banyak pembohongan dan penipuannya,” tulis beliau lagi.

Menurut tulisan itu lagi, tanpa memandang langsung kepada isu Palestin sudah lebih setengah abad dizalimi zionis Israel dan masih berterusan hingga hari ini dengan lebih mengganas, (khususnya terbaharu melalui pembunuhan terancang wartawan yang sudah sekian lama memperjuangkan isu hak asasi Palestin, Shireen Abu Akleh baru-baru ini), jelas  menandakan betapa teori New World Order ini  juga merupakan ciptaan zionis. 

Tambah tulisan beliau, ia jelas terbukti melalui perang yang dilancarkan secara langsung dan secara perang proksi, ke atas ke atas negara-negara Islam seperti Afghanistan, Iraq, Syria, Libya, Mali dan lain-lain, serta menyokong kalangan diktator di beberapa negara Islam bagi menutup pintu demokrasi kepada Islam dan para penganutnya.

“Semua negara yang dianggap lemah dimasukkan ke dalam satu bakul dengan janji-janji manis seperti kebebasan dan kemajuan dalam dunia baharu yang berkeamanan dan berkeadilan. 

“Sekiranya tidak masuk ke dalam bakulnya pasti akan dikacau dengan berbagai-bagai cara, bermula daripada kekacauan ekonomi sehinggalah mencetuskan peperangan bukannya keamanan,” tulis Tuan Guru.

Aminuddin Yahaya

Mungkin saranan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya dalam ucapan pembukaan Persidangan Susulan Isu Kalimah Allah dan Isu-isu mengenai agama Islam di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 17 April 2021 perlu difikirkan semula.

Beliau berkata, pemimpin serta umat Islam tidak boleh menjadi naif dengan permasalahan yang timbul dalam isu agama di peringkat global pada ketika ini.

“Umat Islam jangan terperangkap dengan ‘permainan’ pihak tertentu, dan harus mencipta agenda tersendiri sebagai alternatif kepada Barat. Kalau Barat ada New World Order, kenapa tidak kita ada New Islamic Order?

“Mungkin ini satu cadangan pelik, tetapi harus difikirkan kerana negara tidak harus terus-menerus dicaturkan oleh Barat,” tegasnya.

Beliau menegaskan, New World Order dicipta oleh AS bertujuan untuk menjamin kuasa unipolar terus berpusat di negara tersebut. 

“Mereka mahu jadi polis dunia dan jadikan negara Islam sasaran untuk diganggu-gugat dengan memecah belahkan rakyat di negara-negara Islam seluruh dunia,” katanya.

Artikel oleh: Harakah Daily

ONE WORLD RELIGION ANCAM UMAT ISLAM – PPIM

https://harakahdaily.net/index.php/2022/05/17/one-world-religion-ancam-umat-islam-ppim/