Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KERAJAAN LAMBAT BERTINDAK, BANYAK NYAWA TERGADAI – KENYATAAN MEDIA PPIM – 25/12/2021
25 Dec 2021

KUALA LUMPUR, 25 Disember – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas semua mangsa banjir. Hal ini adalah berikutan dengan kejadian banjir telah mengorbankan lebih daripada 30 mangsa dan dijangka bakal bertambah.

Respon dan tindak balas daripada kerajaan terhadap bencana ini seperti tidak serius. Bahkan, kejadian ini tidak sepatutnya berlaku kerana pusat meteorologi sudah mengeluarkan amaran awal dan isu ini telah turut dibangkitkan di sidang parlimen, namun tiada sebarang tindakan susulan yang dilakukan oleh kerajaan.

Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan @ toqqi berkata jika kerajaan mengatur lebih awal persiapan, kemungkinan tragedi banjir ini tidak akan mendatang kesan yang teruk kepada negara seperti yang dialami oleh rakyat pada waktu ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga digesa untuk bertanggungjawab kerana tidak bertindak segera selepas empangan Klang Gate dibuka yang telah menyebabkan banjir teruk di Sri Muda, Shah Alam baru-baru ini.

PPIM turut menerima aduan dari mangsa banjir yang menyuarakan kekecewaan mereka apabila NADMA tidak memberi amaran awal secara terus pada penduduk sebelum empangan Klang Gate dibuka. Namun sebaliknya, mereka hanya memaklumkan melalui posting di media sosial sahaja.

PPIM berpendapat, kerajaan seharusnya mewujudkan satu pelan awal bagi mengelakkan tragedi seperti ini berulang di negara Malaysia.

Dalam keadaan rakyat yang sedang susah, Datuk Nadzim juga menggesa kerajaan supaya bertindak segera demi memastikan keadaan kembali pulih secepat mungkin dan memastikan tiada rakyat menderita seperti hari ini.

“Rakyat sudah cukup susah, jadi kita cari jalan yang sangat mudah. Buat yang agak-agak cukup dengan kesesuaian keadaan.” katanya.