Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KESAN BANDUAN TERIMA VAKSIN ALAMI KESAN SAMPINGAN DISIASAT, KATA KKM – BERITABENAR – 04/01/2022
08 Jan 2022

Pihak berkuasa kesihatan Malaysia pada Selasa memaklumkan bahawa satu siasatan mengenai kematian dua daripada 18 banduan sebuah penjara di negeri Selangor yang mengalami kesan sampingan teruk setelah mengambil vaksin COVID-19 yang berlaku antara September dan November 2021.

Pada masa yang sama, berita mengenai kejadian tersebut turut menggemparkan netizen Malaysia dengan ramai menyuarakan kebimbangan mereka untuk mengambil dos penggalak, sementara sebuah persatuan aktivis hak pengguna pula menggesa kerajaan supaya bersikap telus dalam siasatan mereka.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Roshayati Mohamad Sani dalam satu kenyataan media menyatakan bahawa hasil dari siasatan yang dijalankan pihak berkuasa kesihatan akan dibentangkan kepada satu jawatankuasa khas mengenai vaksin COVID-19 bagi menentukan hubungkait antara kesan yang dialami 18 kes berkenaan dengan pengambilan vaksin.

“Kesemua laporan yang dinyatakan dalam surat tersebut telah diterima oleh pihak NPRA. Laporan-laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) yang diklasifikasikan sebagai serius termasuk yang melibatkan kematian sedang dalam proses penyiasatan.

“Pada masa yang sama, siasatan juga telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat lengkap dan seterusnya, laporan siasatan akan dibentangkan untuk dinilai oleh Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19 bagi mengesahkan kausaliti atau hubungkait antara vaksin dengan kesan advers yang dilaporkan,” kata beliau.

Roshayati merujuk kepada sepucuk surat yang ditulis oleh pengarah Penjara Kajang kepada pegawai kesihatan daerah Hulu Langat pada 30 Nov lepas, di mana beliau melaporkan mengenai 18 orang banduan telah mengalami kesan advers selepas diberikan vaksin COVID-19.

Salinan surat berkenaan telah menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lepas dengan antara isi kandungannya menyatakan bahawa seramai 4,185 banduan di penjara berkenaan telah menerima vaksin dalam dua fasa antara 23 September dan 22 Oktober 2021.

Daripada jumlah berkenaan, 2,782 telah menerima vaksin Pfizer, 1,260 vaksin dos tunggal Cansino, manakala 43 lagi menerima Sinovac.

Menurut surat tersebut, 15 daripada kes yang mengalami AEFI teruk telah menerima vaksin Pfizer manakala 3 lagi menerima Cansino yang bagaimanapun tidak memberikan perincian mengenai kes kematian serta latarbelakang mereka yang mengalami kesan advers.

Roshayati dalam kenyataan medianya berkata bahawa Kementerian Kesihatan akan memaklumkan situasi semasa laporan mengenai kes berkenaan kepada umum dari semasa ke semasa.

Malaysia memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Februari tahun lepas bagi menginokulasi populasi negara itu untuk mengekang penularan wabak koronavirus serta mengurangkan kesan jangkitan.

Setakat 3 Januari, seramai 25.6 juta penduduk atau 78.5 peratus daripada keseluruhan populasi negara telah menerima vaksinasi lengkap terhadap COVID-19, manakala lebih 6.6 juta daripada jumlah itu juga telah menerima dos penggalak.

Reaksi negatif

Kenyataan media KKM mengenai kesan AEFI telah menerima banyak reaksi negatif daripada netizen, termasuk mereka yang menyelar pihak berkuasa kesihatan itu dan mempertikaikan mengenai ketelusan dalam menyiasat kesan sampingan dari vaksinasi.

“Siapa pakar yang mengkaji kesan sampingan di Malaysia ini? Dia ada kelulusan apa sampai Malaysia tiada langsung kes kematian sebab vaksin sedangkan di negara maju berlambak kes kesan sampingan,” tulis seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Puan Zai.

“KKM tidak telus. Kalau (surat) tidak tersebar mesti isu ini tidak berbangkit,” kata seorang lagi pengguna Facebook, merujuk kepada surat penjara Kajang yang tular.

Sejak Malaysia memulakan program vaksinasi COVID-19, terdapat beberapa kes kematian membabitkan individu yang baru menerima imunisasi mereka dengan Kementerian Kesihatan menyatakan kes-kes tersebut akan menyiasat, namun sehingga kini tidak ada kes kematian yang disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan itu berkaitan dengan vaksinasi.

Seorang pengguna Twitter, Alif Mustaqim memuatnaik grafik laporan kesan advers vaksinasi di Amerika Syarikat dan membandingkan amalan pelaporan yang dilakukan negara berkenaan dengan Malaysia.

Beliau mendakwa bahawa Malaysia tidak mengamalkan sistem audit untuk AEFI seperti di AS, yang menunjukkan bilangan kes penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan dan kematian yang tinggi.

“Saya telah memberikan amaran mengenai perkara ini sebelum ini. Di Malaysia, kita tidak mempunyai sistem audit AEFI yang telus seperti di AS. Jika ada, kita akan melihat trend serupa seperti di AS, seperti mana yang ditunjukkan dalam graf ini. Nombor tidak menipu,” kata netizen itu dalam ciapannya.

Perkara itu juga telah menarik Persatuan Pengguna Islam Malaysia, sebuah kumpulan hak pengguna yang aktif di Malaysia, untuk menggesa kerajaan mendedahkan maklumat mengenai kes AEFI di semua penjara di seluruh negara, termasuk bilangan banduan yang telah mati selepas menerima vaksinasi COVID-19.

Dalam satu sidang media, persatuan itu turut mempersoalkan sama ada pihak berkuasa telah mematuhi protokol ‘informed consent’ (kebenaran yang dibuat dengan pengetahuan penuh) sebelum semua banduan diberikan vaksinasi mereka.

“Berapa ramai banduan, di seluruh Malaysia telah diberi vaksin termasuk dos penggalak? Berapa ramai yang telah mengalami AEFI serta bilangan kematian?

Adakah pemeriksaan patologi terperinci dilakukan untuk semua kematian dan adakah keluarga banduan yang meninggal dunia telah dimaklumkan dan diberikan maklumat yang jelas dan betul?,” kata ketua aktivis PPIM Nadzim Johan.

Persatuan itu juga menasihatkan supaya semua yang mempunyai ahli keluarga yang dalam tahanan di penjara supaya berhati-hati apabila terdapat kematian mengejut, dan mendapatkan maklumat lengkap mengenai vaksinasi mereka serta meminta laporan patologi daripada pihak berkuasa.

“Di PPIM, kami mempunyai pasukan pakar yang bersedia untuk mengkaji laporan patologi ini dan menasihati anda tentang punca sebenar kematian,” tambah Nadzim.

Variasi biologi

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia, Malina Osman berkata semua jenis vaksin mempunyai kesan sampingan, yang mana ia juga adalah satu perkara yang wujud dalam ubatan jenis lain.

Kata beliau, antara kesan sampingan yang selalu berlaku termasuk rasa sakit, kemerahan dan pembengkakan di tempat suntikan.

“Penerima juga mungkin akan berasa letih, mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, rasa sejuk atau mual.

“Terdapat juga laporan mengenai kesan sampingan yang lebih teruk seperti denyutan nadi yang laju, sesak nafas, bengkak di leher, atau ruam, tetapi insiden seperti ini jarang berlaku,” kata Malina kepada BenarNews.

Menurut beliau, kesan sampingan berlaku disebabkan variasi biologi di mana setiap individu memberi tindakbalas berbeza terhadap ubatan termasuk vaksin yang diterima mereka.

“Penerima dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin sekiranya terdapat masalah klinik ketika mereka dalam tempoh pemantauan selepas menerima vaksin.”

Artikel oleh: BeritaBenar

KESAN BANDUAN TERIMA VAKSIN ALAMI KESAN SAMPINGAN DISIASAT, KATA KKM

https://www.benarnews.org/malay/berita/my-banduan-vaksin-220104-01042022132840.html