SELAMA, 29 Ogos (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak bersikap ‘pilih bulu’ dalam menyelesaikan sebarang masalah, tegas menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata kementerian berkenaan merupakan medium pengantara bagi masyarakat mendapatkan maklumat atau pembelaan sewajarnya berkaitan barangan serta perkhidmatan.
“Kementerian membantu semua rakyat dan menjalankan tugas mengikut undang-undang yang ada dan kita mencari kaedah untuk semua pihak berada dalam keadaan menang-menang.
Telah terbukti cara kita benar-benar berhemah dan kita dapat selesaikan segala masalah dengan kaedah perundingan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di sini, hari ini.
Hamzah berkata demikian sebagai mengulas dakwaan sebuah persatuan pengguna yang menyatakan kementerian berkenaan tidak memperjuangkan nasib peniaga Islam dalam kes penamatan kontrak pengusaha stesen minyak Caltex, baru-baru ini.
Menjelas lanjut mengenai perkara itu, Hamzah berkata Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Jamil Salleh telah mengadakan perjumpaan bersama pengusaha terbabit bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.
“Penamatan lesen antara pengusaha dengan syarikat minyak Caltex merupakan permasalahan yang berlaku bukan seminggu atau dua bulan tetapi beberapa tahun lalu sehingga dibawa ke mahkamah.
Malah, mahkamah telah memutuskan pihak Caltex berhak menamatkan tempoh perjanjian dengan pengusaha yang terlibat,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang menyebelahi Caltex dan pengusaha terbabit perlu membayar ganti rugi RM300,000 seorang.
— BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1387146