Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MAIWP AGIH RM297.14 JUTA BANTU ASNAF [METRO TV] – HARIAN METRO – 27/07/2022
27 Jul 2022

Nilai: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan sebanyak RM297.14 juta menerusi pelbagai skim bantuan kepada mereka yang memerlukan sejak Januari hingga 31 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata selain itu, program Musa’adah di bawah agensi hal ehwal Islam peringkat Persekutuan juga mengagihkan lebih RM40.84 juta bagi membantu masyarakat yang terjejas khususnya akibat pandemik Covid-19 di seluruh negara, sepanjang Jun lalu.

Idris Ahmad (kiri) ketika sidang media pada Majlis Perasmian Muzakarah Zakat Kebangsaan. FOTO AZRUL EDHAM

Beliau berkata, MAIWP turut membantu lebih 30,200 ketua isi rumah (KIR) di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“MAIWP juga melancarkan Projek Agro-preneur Asnaf di Kompleks Darul Kifayah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur dengan menanam cili sebanyak 21,000 polibeg.

“Ini adalah program pertanian bandar yang kita usahakan untuk membantu asnaf. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah ditugaskan untuk menyediakan latihan, bimbingan kepada asnaf ini.

“Selain itu, Yayasan Waqaf Malaysia sedang dalam proses untuk membangunkan empat hektar tanah di Putrajaya untuk program Waqaf Petani membabitkan asnaf.

“Jadi, inilah pendekatan yang kita ambil dengan lebih berfokus kepada lokaliti dan komuniti untuk memberikan fokus kepada latihan serta bimbingan kepada asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 kali ke-9 di Nilai Springs Resort Hotel & Golf Country Club di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah dan Penyelaras Institut Fatwa dan Halal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Azman Ab Rahman.

Muzakarah bertemakan ‘zakat dan kemiskinan’ adalah anjuran USIM bersama Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Idris berkata, pihaknya sentiasa memberikan peringatan kepada ketua agensi untuk sentiasa turun padang mencari orang susah kerana Islam mesti membantu golongan susah dalam rangka kemampuan yang ada.

Beliau berharap apa yang dilakukan oleh agensi hal ehwal Islam peringkat persekutuan turut dilakukan oleh semua agensi zakat di negeri lain.

Menurutnya, institusi kewangan sosial Islam sepatutnya boleh menjadi pemangkin dan penggerak dalam membantu golongan yang terkesan ini untuk bangkit dan maju dalam kehidupan.

Katanya, pengurusan zakat secara efisien dan sistematik mampu melonjakkan potensi zakat sebagai instrumen pembangunan umat Islam.

“Justeru, dana zakat perlu dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan kualiti dan potensi setiap orang Islam.

“Muzakarah Zakat Kebangsaan yang dianjurkan ini amat tepat pada waktunya dan bermanfaat untuk penambahbaikan yang perlu dilakukan bersesuaian dengan keadaan semasa hari ini,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

MAIWP AGIH RM297.14 JUTA BANTU ASNAF [METRO TV]

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/07/865323/waiwp-agih-rm29714-juta-bantu-asnaf-metrotv