Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MAIWP BERJAYA AGIH RM297.14 JUTA ZAKAT DALAM TEMPOH 5 BULAN – UMMAH TODAY – 26/07/2022
27 Jul 2022

NILAI – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan zakat berjumlah RM297.14 juta menerusi pelbagai skim bantuan yang ditawarkan kepada golongan asnaf berkelayakan dalam tempoh Januari sehingga 31 Mei tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Haji Ahmad menjelaskan, berdasarkan rekod, setiap bulan sebanyak 30,200 ketua keluarga di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah dibantu.

Foto sumber FB Jabatan Perdana Menteri

“Bantuan itu diagihkan MAIWP menerusi 30 jenis Skim Bantuan Baitumal meliputi bantuan kesihatan, saraan bulanan, pendidikan dan perumahan untuk Kesejahteraan asnaf dalam mendepani kemiskinan,” ucap Haji Idris ketika merasmikan Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 Kali Ke-9 bertemakan ‘Zakat dan Kemiskinan’ di Nilai pada Selasa.

Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 anjuran Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Yayasan Basmi Kemiskinan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) & Majlis Belia Malaysia.

Menurut Haji Idris lagi, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk modal perniagaan dalam usaha melahirkan sekurang-kurangnya 2,000 orang asnaf yang mampu berdikari dan berjaya dalam bidang keusahawanan tahun ini.

Tambahnya lagi, mereka yang dikenal pasti berkelayakan & mempunyai kemahiran akan diberi bantuan modal perniagaan sebanyak RM20,000.

“Hasrat kita supaya mereka ini dapat keluar daripada kepompong kemiskinan sekaligus menjadi penyumbang zakat dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi.”

Foto kredit FB Jabatan Perdana Menteri

Jelasnya lagi, asnaf yang terpilih akan dibimbing serta dilatih oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melalui program latihan keusahawanan untuk berniaga.

Ini termasuk membangunkan projek bertani bandar di Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih buat permulaan ini.

Yayasan Waqaf Malaysia juga telah membangunkan program Waqaf Tani Asnaf di Presint 20, Putrajaya untuk projek tanaman nenas, pisang dan jagung.

Artikel oleh: Ummah Today

MAIWP BERJAYA AGIH RM297.14 JUTA ZAKAT DALAM TEMPOH 5 BULAN

https://ummahtoday.com.my/maiwp-berjaya-agih-rm297-14-juta-zakat-dalam-tempoh-5-bulan/