Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MARDI TAWAR KHIDMAT NASIHAT URBANKIT – BERITA HARIAN – 11/06/2022
11 Jun 2022

Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sedia menawarkan nasihat mengenai pertanian bandar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata antara inovasi pertanian bandar dibangunkan MARDI ialah Urbankit.

Beliau berkata, Urbankit ialah sistem akuaponik menggabungkan tanaman sayur-sayuran, herba dan ulam-ulaman dengan ternakan ikan air tawar.

“Urbankit dibangunkan khusus untuk penduduk di bandar dan pinggir bandar dengan menggunakan alat ringkas dan mudah.

“Hasil ikan, sayur-sayuran, ulam-ulaman dan herba menerusi Urbankit selamat untuk dimakan dan bertepatan dengan konsep teknologi hijau (organik) kerana tidak menggunakan racun perosak dan baja kimia,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang menyeru rakyat membentuk amalan baharu dengan memulakan penanaman bagi mengatasi kekurangan bekalan makanan.

Katanya, bekalan makanan berkurangan disebabkan krisis rantaian global, sekali gus mengakibatkan ekonomi rakyat turut terjejas.

Mohamad Zabawi berkata, unjuran purata satu unit Urbankit boleh menjana pendapatan sampingan RM156 sebulan dengan syarat dijual dengan harga organik serta penjimatan belanja dapur di antara 20 peratus hingga 40 peratus yang berjumlah RM80 sebulan.

“Harapan saya, lebih banyak agensi seperti majlis agama Islam negeri, pusat zakat, baitulmal, yayasan, perbankan, syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri dapat menggunakan inovasi Urbankit ini.

“Ini membantu orang ramai mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, antara projek berskala besar menggunakan Urbankit ialah kerjasama di antara MARDI dan Masjid Al Hasanah di Bandar Baru Bangi.

Katanya, Masjid Al Hasanah menyediakan tempat dan peserta yang terdiri daripada keluarga B40, asnaf serta pelajar tahfiz.

“Peserta diberi kursus intensif mengenai Urbankit seperti aspek penanaman, penjagaan dan penyelenggaraan inovasi berkenaan.

“Kejayaan ini turut diperkukuh lagi oleh koperasi Masjid Al Hasanah yang memasarkan hasil sayur dan ikan segar,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

MARDI TAWAR KHIDMAT NASIHAT URBANKIT