Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
URBANKIT, INOVASI PERTANIAN BANDAR – HARIAN METRO – 10/06/2022
11 Jun 2022

Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bersedia menawarkan khidmat nasihat bagi mana-mana pihak yang mahu memulakan pertanian bandar.

Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, antara inovasi pertanian bandar dibangunkan Mardi adalah Urbankit.

Beliau berkata, Urbankit adalah sistem akuaponik menggabungkan tanaman sayuran, herba dan ulaman dengan ternakan ikan air tawar.

“Urbankit dibangunkan khusus untuk penduduk di bandar dan pinggir bandar dengan menggunakan alatan ringkas dan mudah.

“Hasil ikan, sayur-sayuran, ulam-ulaman dan herba menerusi Urbankit adalah selamat untuk dimakan dan bertepatan dengan konsep teknologi hijau (organik) kerana tidak menggunakan racun perosak dan baja kimia,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, baru-baru ini dilaporkan berkata pihaknya menyeru rakyat membentuk budaya baharu dengan memulakan aktiviti penanaman bagi mengatasi isu kekurangan bekalan makanan.

Katanya, ia berikutan isu bekalan makanan yang semakin berkurangan disebabkan krisis rantaian global sekali gus mengakibatkan ekonomi rakyat terjejas.

Mengulas lanjut, Mohamad Zabawi berkata, unjuran purata satu unit Urbankit boleh menjana pendapatan sampingan RM156 sebulan dengan syarat ia dijual dengan harga organik serta penjimatan belanja dapur antara 20 peratus hingga 40 peratus yang berjumlah RM80 sebulan.

“Adalah menjadi harapan saya semoga lebih banyak agensi seperti majlis agama Islam negeri, pusat zakat, baitulmal, yayasan, perbankan, syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri dapat menggunakan inovasi Urbankit ini.

“Ia sekaligus untuk membantu ummah bagi mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat dalam kalangan golongan yang memerlukan melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), waqaf, infaq, zakat dan seumpamanya,” katanya.

Menurutnya, antara projek berskala besar menggunakan Urbankit adalah membabitkan kerjasama antara Mardi dan Masjid Al Hasanah di Bandar Baru Bangi.

Katanya, Masjid Al Hasanah menyediakan lokasi dan peserta yang terdiri daripada komuniti B40, asnaf serta pelajar tahfiz berjumlah 104 orang dengan sejumlah 70 unit Urbankit di tempatkan di situ.

“Peserta diberi kursus intensif mengenai Urbankit seperti aspek penanaman, penjagaan dan penyelenggaraan inovasi berkenaan.

“Kejayaan ini turut diperkukuhkan lagi oleh koperasi Masjid Al Hasanah yang berperanan sebagai agen pemasaran yang membantu memasarkan hasilan sayur dan ikan yang segar melalui jualan amal,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

URBANKIT, INOVASI PERTANIAN BANDAR

https://www.hmetro.com.my/agro/2022/06/850594/urbankit-inovasi-pertanian-bandar