Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MOSTI HORMATI PERANAN PPIM PERJUANG ISU RAKYAT – HARAKAH DAILY – 02/02/2021
03 Feb 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menghormati peranan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) apabila melibatkan akar umbi rakyat.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim mengucapkan terima kasih kepada Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan kerana sudi menerima undangan untuk berjumpa beliau hari ini bagi berbincang mengenai beberapa isu termasuklah berkaitan vaksin Covid-19.

“Saya menghormati peranan yang penting dimainkan oleh PPIM dalam memperjuangkan isu-isu kepenggunaan yang sangat penting terutamanya apabila melibatkan akar umbi rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut mengucapkan tahniah kepada PPIM yang sentiasa prihatin dengan isu rakyat.

Menurut Amzad, sememangnya kerajaan berhasrat untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PPIM yang boleh menyalurkan isu-isu dan keresahan rakyat kepada MOSTI.

MOSTI pula, katanya boleh menyalurkan maklumat dan jawapan yang tepat kepada PPIM.

Tambahnya, beliau sempat memaklumkan perkembangan berkaitan kemajuan perolehan vaksin Covid-19 dan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan dilaksanakan.

“Vaksin pertama Pfizer telah kami umumkan akan diterima mulai 26 Februari 2021 dan mula disuntik kepada frontliners terlebih dahulu,” ujarnya.

Katanya lagi, pemimpin akan turut disuntik bersama frontliners sebagai tanda komitmen kerajaan mengikut urutan disusun oleh JKJAV.

“Saya turut ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang sebaik mengetahui kehadiran Ketua PPIM di pejabat saya, beliau sanggup keluar sekejap dari mesyuarat yang dihadirinya semata-mata untuk meraikan selain sempat menerangkan beberapa perkembangan terkini.

“Insya-Allah, semoga semua ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” ujarnya lagi.

Artikel oleh: Harakah Daily

MOSTI HORMATI PERANAN PPIM PERJUANG ISU RAKYAT

https://harakahdaily.net/index.php/2021/02/02/mosti-hormati-peranan-ppim-perjuang-isu-rakyat/