PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan kehadiran Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menyuarakan kebimbangan mereka tentang beberapa isu rakyat kepada parti UMNO.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, Zahid memaklumkan bahawa beliau dikunjungi beberapa ketua dan wakil NGO termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada Isnin.
Dalam pertemuan itu, NGO terbabit menyuarakan kebimbangan, keresahan dan kerisauan mereka berhubung isu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Vaksin Covid-19 dan lain-lain.
“Antaranya berhubung pengeluaran wang KWSP bagi membantu masyarakat yang masih berdepan dengan tekanan ekonomi.
“Mereka turut menyuarakan tentang isu kesan sampingan dos ketiga vaksin Covid-19 yang rata-rata penerima mengalaminya. Begitu juga dengan kewajaran pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.
“Turut dibangkitkan tentang pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) iaitu berhubung kenaikan nilai kompaun sehingga RM10,000 yang dikhuatiri akan menambah penderitaan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Zahid berkata, beliau memahami mengapa NGO terbabit mencari UMNO sebagai saluran mereka menyuarakan keluhan.
“Ini disebabkan persepsi Perdana Menteri daripada UMNO maka UMNO adalah kerajaan yang mendokong segala-galanya.
“Mungkin juga mereka putus harapan terhadap saluran sedia ada sehingga mencari saluran politik untuk suara rakyat didengari,” katanya.
Oleh itu, UMNO amat mengalu-alukan kehadiran NGO terbabit dan kerajaan harus mendengar pandangan-pandangan mereka juga.
“Jangan menolak terus kerana pasti ada asas tentang keprihatinan mereka membawa suara rakyat suara keramat. Dengar, berbincang dan lakukan yang terbaik untuk rakyat, bukan menyanggah dan kemudian mengeluarkan arahan berbeza-beza.
“Saya dan rakan-rakan kepimpinan UMNO akan membawa perkara diketengahkan NGO terbabit secepat mungkin kepada kerajaan.
“Ini bukan mainan politik kerana dalam keadaan apa sekali pun UMNO akan tetap mengutamakan dan memihak kepada rakyat,” tegasnya.
Artikel oleh: Sumberkini
NGO CARI UMNO KERANA KAMI FAHAM MEREKA – ZAHID
https://bebasnews.my/2022/01/20/ppim-persoal-koktel-vaksin-dan-hilang-status-vaksinasi/