Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
NGO DESAK SPRM, PDRM SIASAT ISU DAGING IMPORT – UTUSAN MALAYSIA – 17/05/2022
27 May 2022

PETALING JAYA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) minggu ini berhubung isu status halal daging import.

Ini susulan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung kelulusan penyembelihan halal yang diberikan kepada loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal di Australia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menjelaskan, laporan itu akan dibuat sebagai desakan kepada pihak berkuasa untuk membuka kertas siasatan secara rasmi terhadap isu tersebut.

“Kita perlukan laporan audit, kita perlukan SPRM dan kita perlukan penubuhan jawatan kuasa tertentu untuk mengkaji perkara ini, sebab kalau tidak siasat, ia tidak akan berhenti dan akan terus berlaku, jadi kena ambil tindakan.

“Oleh itu, kita akan buat laporan SPRM, PDRM serta badan audit, kita mahu laporan audit memperincikan segalanya, bagaimana ia boleh berlaku? Kaedah ini penting bagi menjamin keselamatan kita sebagai umat Islam,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan JPV sedang mengesan baki daging import dari Australia yang telah disahkan melanggar prosedur penyembelihan halal dalam negara ini untuk dilupuskan.

Malah, mana-mana haiwan sembelihan atau daging import yang telah masuk ke negara ini didapati melanggar prosedur dan garis panduan yang ditetapkan tidak akan diluluskan dan diedarkan ke mana-mana pasaran di seluruh negara.

JPV akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain dalam negara seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jakim serta pihak luar dari Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar (DAWE) Australia untuk memulakan siasatan itu.
Bagaimanapun, Nadzim juga meminta Jakim supaya mengatasi kelemahan terhadap penguatkuasaannya, yang menjadi salah satu punca isu daging import ini dibiarkan berlaku sehinggalah ia didedahkan sendiri oleh orang awam.

“Jakim juga seperti badan-badan lain, mereka juga ada kelemahan tertentu, tetapi ia perlu diatasi dengan audit,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor juga difahamkan akan bersama-sama membuat laporan kepada SPRM dan PDRM dalam masa terdekat, namun beliau enggan mengulas lanjut.

Beliau merupakan salah seorang yang mendedahkan bukti menerusi maklumat daripada pekerja rumah penyembelihan di Australia, termasuk rakaman video ketidakpatuhan yang berlaku bertahun-tahun.

Sejak 14 April lalu, akhbar ini mendedahkan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Tambah mengejutkan, pusat penyembelihan di Lobethal, Selatan Australia itu ada dalam senarai diiktiraf kerajaan Malaysia dan mendapat perakuan badan pensijilan halal luar negara di Australia.

Rentetan pendedahan bermula apabila Faizan mendakwa, beliau mempunyai bukti menerusi maklumat daripada pekerja rumah penyembelihan itu termasuk rakaman video ketidakpatuhan yang berlaku bertahun-tahun.

Berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan, haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu menyebabkan haiwan itu mati akibat lemas dan bukannya kerana disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.

Pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan di Australia itu juga turut diakui penyelidik bebas warganegara berkenaan, Murray Hunter yang juga bekas profesor di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Menurut laporan yang disokong saksi, semua kambing biri-biri lemas dalam darah yang terkumpul dari haiwan yang disembelih sebelumnya dan ia mati disebabkan lemas dan bukannya kerana haiwan itu disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.

Selain mati lemas, kelazimannya empat orang dikehendaki menjalankan proses penyembelihan itu iaitu dua tukang sembelih, masing-masing seorang pemeriksa halal dan penyelia, namun hanya tiga pekerja menjalankan proses itu yang berkemungkinan bagi menjimatkan kos tenaga kerja.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

NGO DESAK SPRM, PDRM SIASAT ISU DAGING IMPORT

https://www.utusan.com.my/berita/2022/05/ngo-desak-sprm-pdrm-siasat-isu-daging-import/