Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
STATUS HALAL: UTUSAN MALAYSIA DEDAH KEPINCANGAN THOMAS FOODS – UTUSAN MALAYSIA – 16/05/2022
27 May 2022

PETALING JAYA: Sejak 14 April lalu, akhbar ini mendedahkan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Tambah mengejutkan, pusat penyembelihan di Lobethal, Selatan Australia itu ada dalam senarai diiktiraf kerajaan Malaysia dan mendapat perakuan badan pensijilan halal luar negara di Australia.

Rentetan pendedahan bermula apabila Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor mendakwa, beliau mempunyai bukti menerusi maklumat daripada pekerja rumah penyembelihan itu termasuk rakaman vi­deo ketidakpatuhan yang berlaku bertahun-tahun.

Berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan, haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu menyebabkan haiwan itu mati akibat lemas dan bukannya kerana disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.

Pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan di Australia itu juga diakui penyelidik bebas warganegara berkenaan, Murray Hunter yang juga bekas profesor di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Menurut laporan yang di­sokong saksi, semua kambing biri-biri lemas dalam darah yang terkumpul dari haiwan yang disembelih sebelumnya dan ia mati disebabkan lemas dan bukannya kerana haiwan itu disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.

Selain mati lemas, kelazimannya empat orang dikehendaki menjalankan proses penyembelihan itu iaitu dua tukang sembelih, masing-masing seorang pemeriksa halal dan penyelia, namun hanya tiga pekerja menjalankan proses itu yang berkemungkinan bagi menjimatkan kos tenaga kerja.

Susulan pendedahan Utusan Malaysia itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff dalam kenyataannya ketika itu berkata, pihak berkuasa Australia melalui Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar (DAWE) telah memberi maklum balas segera dalam isu melibatkan dakwaan keraguan status halal rumah penyembelihan tersebut.

Jakim telah meminta penjelasan daripada pihak Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc. (SICHMA) dan telah mendapat maklum balas segera daripada agensi itu dan telah dimaklumkan Pegawai Atase Halal Jakim di Canberra, yang menjalankan audit berkala ke atas Thomas Foods International (TFI).

Selepas lebih 10 hari pendedahan itu, keraguan itu semakin diyakini apabila seorang bekas pekerja rumah penyembelihan itu tampil mengesahkan kepada Utusan Malaysia berhubung dakwaan serta bukti rakaman video cara sembelihan haiwan di situ melanggar protokol adalah benar.

Dedahnya, rumah itu sepatutnya hanya melaksanakan kerja penyembelihan kira-kira 4,000 ekor haiwan sehari mengikut kapasiti loji yang mempunyai tiga petugas untuk melakukannya, namun diarah memproses sehingga 6,500 ekor sehari demi mengejar keuntu­ngan.

Kerajaan Australia menerusi DAWE dalam maklum balas melalui emel kepada Utusan Malaysia juga memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap rumah penyembelihan haiwan di negara itu sekiranya terbukti dan disahkan melanggar protokol standard piawaian ketat dalam mengendalikan pengeluaran daging import.

Sementara itu, rumah sembelihan haiwan TFI di Lobethal, Australia menafikan pihaknya tidak mematuhi protokol halal dan operasi penyembelihan menyalahi tatacara prosedur operasi standard (SOP) sebenar.

Dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia menerusi emel, TFI menegaskan, mereka telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut dan mendapati operasi penyembelihan haiwan mematuhi semua akreditasi halal yang diperlukan.

Selepas satu persatu pendedahan akhbar ini, konflik status halal itu kian memuncak apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pekemas dan Sahabat 99 mendedahkan pengakuan terbuka sumber utama bekas pekerja itu yang tampil mengakui segala dakwaan yang didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video yang dikongsi adalah benar.

Ekoran itu, kerajaan me­ngam­bil keputusan menggantung TFI sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh berhubung kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal pusat penyembelihan itu. Perkara itu diputuskan sebulat suara dalam satu sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan JAKIM de­ngan DAWE yang diadakan baru-baru ini.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

STATUS HALAL: UTUSAN MALAYSIA DEDAH KEPINCANGAN THOMAS FOODS

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/05/status-halal-utusan-malaysia-dedah-kepincangan-thomas-foods/